Stok minyak sawit Malaysia pada Oktober, jatuh paras terendah | DagangNews Skip to main content

Stok minyak sawit Malaysia pada Oktober, jatuh paras terendah

 

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Inventori minyak sawit pada Oktober merosot ke paras terendah bagi tempoh lebih 3 tahun, susut 8.6%. 

Ini disebabkan pengeluaran yang rendah memandangkan musim pembelian dari pengeksport utama, India meningkatkan eksport, menurut pengawal selia industri pada Selasa. 

Menurut Reuters, inventori pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia susut kepada 1.57 juta tan metrik, paras terendah sejak Jun 2017. 

Berdasarkan laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran minyak sawit mentah menguncup 7.8% bulan ke bulan kepada 1.72 juta tan metrik, terendah sejak Mei disebabkan keadaan cuaca kering dan kekurangan tenaga buruh. 

Ketua Penyelidik Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, penggunaan domestik juga semakin menurun disebabkan gangguan dalam permintaan akibat pandemik COVID-19.

Kaji selidik kargo mendapati penghantaran dari Malaysia bagi tempoh 1 hingga 10 November jatuh antara 15 dan 19% berbanding tempoh sama bulan sebelumnya. 

"Data MPOB telah mengambil kira perkara itu tetapi jika berlaku penghantaran rendah bulan ini, ia akan memberi prospek lemah kepada pasaran minyak sawit," jelas Bagani. 

MPOB berkata, eksport minyak sawit pula meningkat berbanding jangkaan, meningkat 3.8% kepada 1.67 juta tan metrik, peningkatan bagi bulan kedua. 

Pengarah Pelindung Bestari di Selangor, Paramalingam Supramaniam berkata, pasaran tidak lama lagi akan beralih kepada eksport November. 

Penganalisis juga melihat penghantaran kepada pembeli di India pada November semakin perlahan selepas musim perayaan dan mungkin akan terus memberi kesan kepada pasaran minyak sawit. 

Pengurus Jualan Institusi di Phillip Futures, Marcello Cultrera berkata, apabila pengeluaran semakin lemah pada Disember, perkara yang dibimbangi ialah margin import semasa bagi minyak mentah sawit dan bertapis di India dan China serta penggunaan di peringkat domestik. - DagangNews.com