Stok minyak sawit mentah meningkat pada Februari | DagangNews Skip to main content

Stok minyak sawit mentah meningkat pada Februari

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Stok minyak sawit mentah terus meningkat pada Februari 2021, sebanyak 2.44% kepada 656,047 tan metrik berbanding 640,435 tan metrik pada bulan sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), stok minyak sawit diproses menyusut 5.76% bulan ke bulan kepada 644,761 tan metrik berbanding 684,191 tan metrik. 

 

"Secara keseluruhan, stok minyak sawit menyusut 1.8% bulan ke bulan kepada 1.3 juta tan metrik berbanding 1.32 juta tan metrik sebelum itu. 

 

"Pengeluaran minyak sawit mentah juga menurun 1.85% kepada 1.11 juta tan metrik daripada 1.13 juta tan metrik pada Januari," katanya dalam laporan bulanan prestasi minyak sawit hari ini.

 

Bagi pengeluaran minyak isirung sawit pula, ia 1.94% lebih rendah kepada 271,632 tan metrik berbanding 277,001 tan metrik bulan sebelumnya. 

 

Stok minyak mentah isirung jatuh 4.25% bulan ke bulan kepada 123,336 tan metrik berbanding sebelumnya, 128,809 tan metrik. 

 

Eksport minyak sawit pada Februari jatuh 5.49% kepada 895,556 tan metrik daripada 947,539 tan metrik pada Januari manakala eksport minyak isirung sawit juga susut 7.32% bulan ke bulan kepada 64,317 tan metrik berbanding 69,397 tan metrik bulan sebelumnya. 

 

Menurut MPOB, eksport oleokimia meningkat 5.6% bulan ke bulan kepada 257,222 tan metrik berbanding 243,584 tan metrik manakala eksport biodiesel pada bulan tersebut meningkat 179.79% kepada 28,206 tan metrik berbanding sebelumnya, 10,081 tan metrik. 

 

"Import minyak sawit mentah pula jatuh lebih banyak iaitu 48.64% kepada 7,140 tan metrik daripada 13,903 tan metrik dan jumlah import minyak sawit adalah 47.14% lebih rendah pada 87,326 berbanding 165,198 tan metrik pada Januari," katanya. - DagangNews.com