Straits Energy diunjur catat untung teras sebanyak RM16.3 juta pada FY24, segmen telekomunikasi jadi pemacu utama pertumbuhan | DagangNews Skip to main content

Straits Energy diunjur catat untung teras sebanyak RM16.3 juta pada FY24, segmen telekomunikasi jadi pemacu utama pertumbuhan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Straits Energy Resources Bhd diunjur mencatatkan untung teras sebanyak RM16.3 juta pada FY24 dengan segmen telekomunikasi menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan itu.

 

TA Securities berkata, ia juga disokong buku pesanan yang kukuh sebanyak RM160 juta dan andaian peningkatan pesanan sebanyak RM200 juta setahun bagi FY24 dan FY25 yang diiktiraf bagi tempoh tiga tahun.

 

Katanya, bagi segmen telekomunikasi, pihaknya mengandaikan untung kasar sebanyak 5%/12%/13% bagi FY23/FY24/FY25 masing-masing. 

 

"Sementara itu, kami menjangkakan perniagaan bunker minyak akan kekal stabil tetapi tidak mungkin menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada Mac 2023, pemegang saham kumpulan itu meluluskan cadangan untuk terlibat dengan perniagaan perkhidmatan telekomunikasi dan ia adalah berikutan perniagaan bunker minyak sedia ada menawarkan margin rendah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen telekomunikasi kumpulan itu melibatkan penyediaan rumusan hujung ke hujung, bermula daripada infrastruktur, rangkaian, penyelenggaraan, perisian, perkakasan dan perkhidmatan berkaitan organisasi.

 

Katanya, segmen ini adalah perniagaan ringan aset kerana kumpulan terutamanya akan menghasilkan penyelesaian dan melibatkan kontraktor jika perlu.

 

"Pada asasnya, segmen ini boleh menyediakan rumusan bagi memenuhi keperluan yang muncul untuk komunikasi dan sistem Internet Kebendaan (IoT) untuk bangunan, kampus, pelabuhan dan taman perindustrian," katanya.

 

TA Securities berkata, kumpulan itu sedang melihat untuk meneruskan perkembangan dalam pusat data yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dengan mereka akan menyediakan rumusan IT untuk pusat data.

 

Katanya, kapasiti storan pusat data dijangka meningkat daripada 10.1 zettabait (ZB) pada 2023 kepada 21.0 ZB pada 2027 untuk kadar pertumbuhan tahunan kompaun lima tahun (CAGR) sebanyak 18.5%.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan harga wajar (FV) kumpulan itu sebanyak 20 sen sesaham. - DagangNews.com