Strategi sekuriti makanan kerajaan Ismail Sabri lebih inklusif untuk rakyat - pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

Strategi sekuriti makanan kerajaan Ismail Sabri lebih inklusif untuk rakyat - pakar ekonomi

oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 1 Nov -  Strategi yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha memperkasakan jaminan sekuriti makanan disifatkan lebih inklusif dan menyeluruh demi kebajikan rakyat di negara ini serta boleh dilaksanakan, menurut pakar ekonomi dan tokoh akademik.

 

Mereka berpendapat lima strategi yang diambil oleh Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada Jun lalu dapat melonjakkan lagi pencapaian dan hasrat kerajaan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.


 

Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025

 


Pensyarah Kanan Jabatan Seni Kulinari dan Gastronomi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu, Dr Mohd Hairi Jalis berkata, pelan itu adalah satu inisiatif jangka masa panjang yang sangat holistik dan efisien kerana mencakupi aspek pengurusan dan perkhidmatan rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hinggalah ke sisa makanan.

 

Menurutnya, langkah kerajaan yang mengambil kira keperluan asas dan sumber makanan serta semua aktiviti yang berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan dan keselamatan makanan juga wajar dipuji dan perlu dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak di lapangan.

 

"Langkah proaktif kerajaan yang sentiasa mengambil berat dan mengutamakan rakyat Malaysia khususnya golongan yang berpendapatan rendah melalui penetapan harga siling dan bantuan kewangan bersasar adalah sangat tepat dan wajar.

 

"Selain itu, galakan supaya rantaian bekalan makanan diterajui syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan juga dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi domestik dan antarabangsa.


 

dr hairi
                 Dr Mohd Hairi Jalis

 


"Usaha modenisasi dan  menggalakkan kerjasama awam bersama swasta dalam kolaborasi pertanian pintar juga dilihat mampu meningkatkan pengeluaran dan pelaburan dalam industri makanan dan pertanian di Malaysia.

 

"Semua langkah yang diambil ini  membuktikan keseriusan kerajaan Malaysia dalam pengurusan sekuriti makanan khususnya ketika menangani cabaran inflasi harga makanan domestik yang kekal tinggi di seluruh dunia pada ketika ini," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Senada dengan beliau ialah rakan sejawatannya iaitu Dr. Muhammad Safuan Abdul Latip yang memaklumkan bahawa kawalan sekuriti makanan di Malaysia berjaya dilaksanakan dan ditangani dengan baik setakat ini. 

 

"Sebagai contoh intervensi yang dilaksanakan kerajaan melalui kawalan harga siling bahan basah yang asas telah berjaya memastikan jaminan sekuriti bekalan makanan negara yang berterusan dan mampan. 

 

"Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial bagi membantu meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 yang dirancang kerajaan juga dapat memastikan kebajikan mereka terbela.


 

Dr. Muhammad Safuan Abdul Latip
                  Dr. Muhammad Safuan Abdul Latip

 


"Usaha kerajaan dalam memperluaskan penggunaan teknologi untuk meningkatkan pengeluaran serta pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan inovasi dapat menghasilkan benih yang berimpak tinggi dan tahan penyakit. 

 

"Begitu juga kajian makanan alternatif bagi menggantikan sumber makanan utama dapat memastikan kelangsungan dan kemampanan bekalan makanan serta sumber ekonomi baharu masyarakat di negara ini," katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata kajian berterusan dalam pemerkasaan data sekuriti makanan yang dirancang kerajaan dapat mengenal pasti data pengeluaran dan penggunaan mengikut sub-sektor makanan terkini yang dapat digunakan untuk perancangan dan kawalan jangka panjang. 

 

"Kerjasama dan kolaborasi strategik tempatan dan antarabangsa antara pihak kerajaan dan swasta yang juga menjadi teras fokus kerajaan, dapat meningkatkan pengeluaran pelbagai produk makanan mentah dan produk sedia untuk di makan melalui inisiatif dan insentif yang disediakan. 

 

"Pengukuhan tadbir urus jabatan dan agensi kerajaan ke arah mencapai keselamatan sekuriti makanan negara juga adalah usaha menyeluruh yang bermula dari pembangunan input pertanian, sehinggalah ke rangkaian pengguna untuk memastikan harga makanan yang berpatutan dan kepelbagaian diet yang berkualiti tercapai.

 

"Perancangan dan tindakan kerajaan ini adalah praktikal dan menyeluruh dalam memastikan negara bersedia untuk menghadapi krisis sekuriti makanan global dan memastikan keberadaan bahan makanan yang mencukupi , selamat, sihat dan ditawarkan pada harga yang berpatutan," katanya.


 

Prof Madya Ts. Dr. Khamsah Suryati Mohd
              Prof Madya Ts. Dr. Khamsah Suryati Mohd

 


Sementara itu, Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Ts. Dr. Khamsah Suryati Mohd pula berkata, kerajaan telah memulakan langkah yang betul dengan inisiatif yang berstrategi dan bergandingan dengan kerajaan negeri dalam meningkatkan sekuriti makanan negara. 

 

Beliau berkata sekuriti makanan adalah satu perkara yang sangat penting untuk 'survival' sesebuah negara. 

 

"Ini dapat dilihat dengan jelas apabila berlaku bencana seperti pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020.

 

"Menyedari hakikat ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif terutama dalam sektor pertanian dan agro makanan yang secara tidak langsung akan memberi peluang kepada negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang pertanian dan teknologi berkaitan.

 

"Namun begitu satu pelan jangka panjang perlulah diperkukuhkan supaya industri agromakanan negara tidak tergugat dan terus terjamin," katanya.

 

Tambahnya, antara usaha yang patut digembleng adalah dengan meningkatkan tahap pendidikan bidang pertanian dalam kalangan remaja terutama mereka yang mempunyai kelulusan minimum diploma seperti program inkubator agropreneur. 

 

Dalam pada itu, Pengarah Institut Akuakultur Tropika & Penyelidikan Perikanan (AKUATROP) Universiti Malaysia Terengganu,  Profesor Dr Mhd Ikhwanuddin Abdullah pula berkata, langkah kerajaan yang sangat proaktif terhadap kajian saintis yang berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik juga disambut baik kerana ia satu langkah ke depan dalam menghadapi cabaran global bagi menjamin sekuriti makanan.

 

"Sehubungan itu, AKUATROP telah melakukan banyak usaha untuk mewujudkan hubungan dan program antarabangsa yang bertujuan mahu membangunkan makanan akuakultur alternatif yang kaya dengan protein, termasuk  lalat askar hitam atau Black Soldier Fly (BSF) yang telah disokong secara meluas oleh kerajaan Malaysia dan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi. Malaysia. 


 

Profesor Dr Mhd Ikhwanuddin Abdullah
                          Profesor Dr Mhd Ikhwanuddin Abdullah

 


"Makanan berasaskan serangga yang kaya dengan protein ini adalah alternatif yang menjimatkan kos dan berkhasiat seperti mana kebanyakan formulasi makanan haiwan konvensional yang diimport. 

 

"Oleh itu, hasil perkongsian ini dijangka membawa kepada peningkatan kecekapan, keuntungan dan kelestarian dalam amalan pengeluaran akuakultur dan ternakan di Malaysia," katanya. - DagangNews.com