Struktur baharu pelesenan kurangkan persaingan dalam industri kurier- HLIB | DagangNews Skip to main content

Struktur baharu pelesenan kurangkan persaingan dalam industri kurier- HLIB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Semakan semula yang dijalankan terhadap rangka kerja baharu pelesenan pengendali kurier di negara ini akan menyaksikan lebih banyak penggabungan dalam kalangan penyedia perkhidmatan itu pada masa hadapan, menurut HLIB Research.

 

Pada Jun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) yang mengandungi 8 inisiatif bagi meningkatkan perkhidmatan kurier bertaraf dunia kepada semua rakyat Malaysia.

 

Antara inisiatif itu termasuklah cadangan menyemak semula rangka kerja pelesenan bagi memastikan pemegang lesen memenuhi aspirasi nasional dari segi kebolehpercayaan, jangkauan, kesesuaian dan ketahanan.

 

Semua pemegang lesen di bawah skim pelesenan baharu itu hendaklah beralih kepada 3 kelas baharu untuk lesen perkhidmatan kurier iaitu Kurier Nasional (N), Kurier Urban (U) dan Kurier Incidental (I) bagi menggalakkan perkongsian rangkaian dan liputan yang lancar. 

 

HLIB Research berkata, penyusunan semula ini berupaya mengurangkan persaingan dalam industri apabila pemain kecil yang tidak mampu memenuhi keperluan struktur baharu perlu keluar daripada pasaran atau bergabung dengan pemain lain. 

 

Malah, katanya, rangka kerja baharu itu juga menunjukkan halangan masuk dipertingkatkan untuk mengelakkan pesaing baharu yang tidak komited memasuki pasaran.

 

"Sehubungan itu, kami positif dengan struktur baharu pelesenan ini kerana kami percaya ia akan menggalakkan lebih banyak pemain industri untuk bergabung pada masa akan datang.

 

"Kami juga berpandangan, struktur ini akan membawa industri kepada tahap kitaran perniagaan yang lebih matang.

 

"Dalam hal ini, syarikat yang memiliki strategi kecekapan kos akan dapat memanfaatkannya sekali gus mewujudkan lebih nilai kepada pihak berkepentingan," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Secara dasarnya, di bawah kerangka baharu itu, semua pemegang lesen sedia ada akan beralih kepada kurier-U manakala proses bagi kurier-N akan dibuat menerusi proses permohonan yang diterajui SKMM. 

 

Pemain bebas yang baru bagi Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) pula boleh memohon di bawah proses biasa menerusi kurier-I.

 

Dari perspektif pengguna pula, HLIB Research yakin kerangka itu akan menyediakan lebih banyak liputan penghantaran secara meluas termasuk di kawasan luar bandar.

 

"Dengan pertumbuhan pesat platform digital dan beli-belah dalam talian, kami percaya struktur ini akan melengkapi norma baharu selain meningkatkan penembusan platform digital dan membeli-belah dalam talian terutama di kawasan luar bandar dalam kalangan pengguna di negara ini," jelasnya.

 

Sehubungan itu, cabang penyelidikan Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) itu turut membuat analisis mengenai kesan kerangka baharu itu terhadap syarikat kurier, Pos Malaysia Bhd. dan GDEX Bhd.

 

Menurutnya, Pos Malaysia dilihat kurang terjejas dengan kerangka pelesenan itu memandangkan ia merupakan satu-satunya syarikat yang memiliki lesen perkhidmatan sejagat dengan liputan meluas dan melaburkan modal di Malaysia. 

 

"Segmen perniagaan kuriernya akan menyaksikan peningkatan pendapatan di bawah inisiatif baharu ini menerusi potensi persaingan yang lebih rendah dan margin yang lebih baik.

 

"Tetapi, prospek Pos Malaysia dalam tempoh terdekat kekal mencabar diheret turun oleh segmen perniagaan penerbangan dan penghantaran surat," katanya.

 

Sementara itu, bagi GDEX pula, HLIB Research berpendapat, ia memenuhi kriteria pelesenan di bawah kurier-N kerana syarikat tersebut memiliki syarat minimum modal berbayar sebanyak RM50 juta dan keperluan majoriti ekuiti tempatan.

 

Syarikat itu setakat ini mempunyai 1,000 pusat penghantaran dan menyasarkan untuk meningkatkan lagi 4,000 pusat penghantaran dalam tempoh 3 tahun.

 

"Dari segi cawangan pengedaran/penghantaran, GDEX mempunyai 67% kehadiran di Malaysia dan memerlukan kira-kira 40 cawangan baharu/ejen bagi memenuhi keperluan kriteria tersebut. 

 

"Pengurusan juga menyatakan keperluan menambah cawangan/ejen bukan satu masalah kepada mereka dan ia boleh dicapai dalam tempoh 2 hingga 3 tahun lagi," katanya setelah mengadakan persidangan video dengan pengurusan GDEX, baru-baru ini.

 

Malah, HLIB Research juga melihat GDEX sebagai sebuah syarikat yang sangat jarang meraih keuntungan dalam industri yang sengit ini.

 

"Sehubungan itu, kami percaya kerangka pelesenan ini akan mengukuhkan perniagaan teras semasa kumpulan dan memberi peluang kepada syarikat untuk mengembangkan portfolio perniagaan sekali gus memacu pertumbuhan. 

 

"GDEX juga bercadang untuk menawarkan produk baharu (di bawah platform baharu digital, MyGDEX) dengan sasaran untuk menyediakan penyelesaian digital secara komprehensif kepada para pelanggannya menerusi perkhidmatan logistik yang berkualiti," jelasnya. - DagangNews.com