Tan Sri Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR 23 Jun - Bekalan vaksin COVID-19 yang sudah dibeli dan dibayar oleh Malaysia belum diterima.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, susulan itu, beliau turut memberi arahan kepada menteri berkaitan agar pihak pembekal mempercepatkan penghantaran vaksin berkenaan.
"Kerajaan sudah beli dan bayar, tapi bekalan vaksin yang ditempah itu belum sampai. Seluruh dunia perlukan vaksin sekarang.
"Saya sudah arahkan menteri yang bertanggungjawab agar pembekal dapat membekalkan vaksin dalam tempoh lebih cepat.
"Jika pengilang sudah keluarkan lebih banyak vaksin, kerajaan harap bekalan vaksin lebih banyak akan dihantar ke negara ini," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Bukit Gambir, Johor semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan meletakkan jangkaan akan menerima sebanyak 16 juta dos vaksin pada Julai dan Ogos.
Selain mengulas berkaitan bekalan vaksin berkenaan, beliau turut menekankan pendaftaran orang ramai untuk mendapatkan vaksin.
Menurutnya, perkara itu juga penting sekali gus dapat mempercepatkan pemberian vaksin.
"Saya sudah perjelaskan di peringkat nasional agar tingkatkan jumlah penerima vaksin kepada 400,000 sehari berbanding sekarang hanya hampir 250,000 sehari, di mana ada lagi ruang yang perlu ditingkatkan.
"Persiapan dilakukan dengan baik setakat ini di mana banyak PPV Mega dibuka seperti di Stadium Nasional Bukit Jalil, seterusnya di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
"Persiapan sudah dibuat di kawasan luar bandar dan pedalaman dengan PPV bergerak menggunakan bas seperti di Pagoh. Ini membuktikan kerajaan sedaya upaya memastikan akses bekalan vaksin ini sampai kepada setiap peringkat masyarakat di bandar, luar bandar dan pinggir bandar," ujar beliau lagi. - DagangNews.com