Sumbangan lebih baik produk pelayan AI, Kenanga Research naikkan unjuran pendapatan FY25 Nationgate sebanyak 19% | DagangNews Skip to main content

Sumbangan lebih baik produk pelayan AI, Kenanga Research naikkan unjuran pendapatan FY25 Nationgate sebanyak 19%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jun - Kenanga Research menaikkan unjuran pendapatan FY25 Nationgate Holdings Bhd sebanyak 19% bagi mencerminkan sumbangan yang lebih baik daripada produk pelayan Kecerdasan Buatan (AI).

 

Katanya, pesanan daripada segmen rangkaian dijangka bertambah baik dalam tempoh terdekat apabila pelanggan utamanya memindahkan lebih banyak pengeluaran dari China ke Pulau Pinang.

 

Ia akan meningkatkan kadar penggunaan kumpulan apabila pelbagai produk beralih kepada pengeluaran besar-besaran

 

"Sementara itu, kumpulan telah mula menghantar pelayan AI miliknya (diluluskan oleh Nvidia) kepada pelanggan dan penghantaran itu dijangka meningkat pada 2HFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan tu berkata, hasil 1QFY24 kumpulan itu melonjak 31.5%, didorong oleh peningkatan kukuh dalam penghantaran merentas semua segmen produk.

 

Katanya, tiga produk teratas (88% daripada hasil kumpulan) adalah rangkaian dan telekomunikasi (27.5%), industri (33.3%) dan pengkomputeran data (73.4%).

 

Segmen rangkaian dan telekomunikasi, menyumbang 52% daripada hasil kumpulan, sebelum ini menghadapi kelembapan sementara akibat pemindahan pelanggan keluar dari China.

 

"Pesanan daripada pelanggan sudah menjadi normal. Sementara itu, segmen pengkomputeran data dan peralatan perlombongan merangkumi kira-kira 23% daripada hasil kumpulan, mengalami lonjakan ketara didorong oleh model baharu yang diterima baik di tengah-tengah keyakinan semasa dalam pasaran model peralatan ruang kewangan terdesentralisasi (DeFi)," katanya.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana kehadirannya dalam produk perindustrian dan komersial yang berkembang pesat yang digunakan dalam sektor rangkaian dan telekomunikasi.

 

Selain itu katanya, kemudahan sedia ada revolusi perindustrian keempat (4IR) yang mampu melaksanakan pekerjaan yang rumit dan perkhidmatan nilai tambahnya seperti cip - on-board (COB) yang mempunyai kelekatan pelanggan yang tinggi dan menghasilkan margin yang lebih baik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.06 sesaham," katanya.- DagangNews.com