Sunsuria cadang beli 33% ekuiti tambahan berharga RM71.4 juta dalam Bangsar Hill Park Development | DagangNews Skip to main content

Sunsuria cadang beli 33% ekuiti tambahan berharga RM71.4 juta dalam Bangsar Hill Park Development

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Sunsuria Berhad bercadang untuk meningkatkan kepentingan ekuiti dalam anak syarikatnya, Bangsar Hill Park Development Sdn. Bhd. (BHP Development) menerusi pembelian 33% kepentingan daripada Suez Capital Sdn. Bhd. dan Dasar Temasek Sdn. Bhd. pada harga RM71.4 juta.

 

Pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan berkata, pembelian ekuiti itu akan meningkatkan pegangannya dalam BHP Development kepada 84% berbanding 51%.


BHP Developments memiliki dan membangunkan projek pembangunan Taman Bukit Bangsar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2.9 bilion, terdiri daripada lapan blok unit kediaman bertingkat tinggi terletak secara strategik di sepanjang Lorong Maarof, Bangsar.

 

Projek itu telah dilancarkan pada Ogos 2020 dan dijadualkan siap pada Mei 2029.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Wee Bee berkata, cadangan pengambilalihan itu memberi petanda positif kerana ia membolehkan syarikat untuk menyatukan lagi prestasi kewangan BHP Development dan mengiktiraf sumbangan yang lebih tinggi daripadasyarikat itu kepada keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI). 

 

Katanya, inisiatif strategik itu ditetapkan untuk mengukuhkan kehadiran kumpulan itu di Bangsar, menggariskan komitmen teguh mereka bagi mengembangkan jejak dalam dua pasaran utama.

 

"Kekurangan tanah di Bangsar, ditambah dengan permintaan tinggi untuk hartanah di kawasan itu menjadikan projek ini sebagai pembangungan yang menarik tambahan pula projek itu terletak di lokasi yang sangat selesa selain boleh diakses melalui lebuh raya di Lembah Klang serta terletak berhampiran LRT Bangsar.

 

“Keyakinan itu disokong oleh respons positif pasaran terhadap fasa awal projek itu.

 

"Dua blok kediaman bertingkat tinggi pertama, Blok D dan Blok E, telah menunjukkan kadar pengambilan yang mengagumkan yang mendorong kejayaan pelancaran Blok C, Talisa, dan unit pameran dan galeri hartanah baharunya di KL Gateway Mall baru-baru ini," katanya.

 

Beliau berkata, cadangan itu pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi dana yang dijana secara dalaman dan/ atau pinjaman bank.

 

RHB Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai penasihat utama kepada kepada cadangan pengambilalihan itu. - DagangNews.com