Sunway, Celcom & Huawei tandatangan MoU majukan teknologi 5G | DagangNews Skip to main content

Sunway, Celcom & Huawei tandatangan MoU majukan teknologi 5G

KUALA LUMPUR 9 Julai - Sunway Berhad (Sunway), Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka perbandaran pintar merangkumi Teknologi Internet of Things (loT), Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima (5G).

MoU tersebut merupakan kolaborasi tiga pihak pertama di Malaysia bagi meneroka potensi Celcom dan Huawei untuk menerapkan teknologi 5G ke Sunway City Kuala Lumpur.

Presiden Kumpulan Sunway Berhad, Datuk Chew Chee Kin berkata, ketiga-tiga pihak terbabit akan meneroka dan membantu ekosistem digital bagi mempromosikan penggunaan teknologi kepada orang ramai.

"Cadangan kolaborasi itu termasuk dalam bidang keselamatan awam, telekesihatan, e-pembelajaran, hospitaliti, sukan dan pengalaman runcit penggunaan teknologi telekomunikasi tercanggih yang akan dijalankan di Sunway City Kuala Lumpur sebagai model bandar raya lestari pintar Malaysia.

"Kami berbangga menjalinkan kerjasama bersama Celcom yang diangkat sebagai syarikat telco utama yang memiliki liputan rangkaian tertinggi di Malaysia. Huawei pula sebagai salah satu daripada peneraju global di dalam aplikasi 5G," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menerusi kerjasama berkenaan, ketiga-tiga pihak juga berpotensi membangunkan reka bentuk seni bina pelaksanaan projek berasaskan piawaian teknologi terbaharu untuk diguna pakai dalam rangkaian selular di Sunway City Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Idham Nawawi berkata, pihaknya berbangga dapat meneruskan kerjasama bersama Sunway Group ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus memberi platform kepada Celcom bagi mempamerkan kebolehan teknologinya membangunkan bandar pintar.

"Cadangan ini akan meningkatkan kapasiti pembinaan teknologi kami. Potensi juga sangat luas untuk kami menyediakan produk dan perkhidmatan inovatif, dalam masa yang sama situasi 'menang-menang' juga dipegang untuk manfaat industri, rakyat dan aspirasi digital negara," jelasnya.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan memberitahu, situasi dunia semakin bergerak ke arah  penggunaan digital dan kerjasama tersebut merupakan satu langkah penting transformasi digital.

"Sebagai peneraju dalam rumusan ICT, kami sangat komited terhadap rakan-rakan kami dalam memberikan perkhidmatan yang dijamin berkualiti dan berterusan bagi membantu pembangunan dunia pintar," jelasnya. - DagangNews.com