Sunway diunjur catat perkembangan lebih baik dalam semua sektor perniagaan pada 2023, kata RHB Research | DagangNews Skip to main content

Sunway diunjur catat perkembangan lebih baik dalam semua sektor perniagaan pada 2023, kata RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jan - RHB Research mengunjurkan Sunway Berhad mencatatkan perkembangan yang lebih baik dalam semua segmen perniagaan pada 2023.

 

Firma itu berkata, pendapatan 4QFY22 akan mengatasi unjuran konsensus manakala pertumbuhan untuk pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan unit penjagaan kesihatan berkemungkinan akan kekal pada 2023.

 

Firma itu menaikkan unjuran pendapatan FY22-23 ke atas saham dalam konglomerat itu daripada 6% kepada 9%. 

 

Penyiapan projek kondominium eksekutif Parc Canberra dan Parc Central di Singapura memberi petanda positif untuk pendapatan dalam segmen pembangunan pada tahun ini.

 

Katanya, pada 3QFY22 untung progresif terkumpul bagi kedua-dua projek itu adalah kira-kira RM100 juta untuk 35% kepentingan Sunway.

 

Dalam segmen riadah dan hospitaliti, Sunway berkemungkinan akan menyaksikan peningkatan dalam penghunian dan pengunjung berikutan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi serta pelancongan domestik yang berdaya tahan dan kepulangan pelancong asing.

 

Pusat Perubatan Sunway di Seberang Jaya kembali modal lebih awal daripada jangkaan kerana prestasi dua bulannya pada 2022 adalah tiga kali lebih baik berbanding Sunway Velocity.

 

"Pihak pengurusan melihat ia didorong permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan tertiari yang berkualiti di Pulau Pinang dan aktiviti komersial yang berkembang pesat di kawasan itu berikutan pembukaan sambungan Sunway Carnival Mall tahun lalu.

 

"SMC Seberang Jaya berkemungkinan mencapai pulang modal lebih cepat daripada SMC Velocity yang meraih keuntungan sebelum cukai dalam tempoh dua tahun sejak pembukaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, keuntungan kumpulan mungkin menyusut berikutan kerugian daripada hospital baharu di SMC Bandar Sunway yang akan dibuka pada 1QFY23.

 

Firma itu berkata, Sunway Construction Bhd juga dijangka menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerjanya tidak lama lagi dan ia penting untuk merealisasikan keterlihatan pendapatannya memandangkan ia baru-baru ini memperoleh kontrak yang besar, termasuk pusat data RM1.7 bilion dan berpotensi projek loji janakuasa Vietnam bernilai RM10 bilion.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.06 sesaham. - DagangNews.com