Sunway Medical Centre berpotensi disenarai awam | DagangNews Skip to main content

Sunway Medical Centre berpotensi disenarai awam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Unit penjagaan kesihatan Sunway Berhad iaitu Sunway Medical Centre Berhad merupakan ‘calon’ terbaik untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, menurut Pengarah Urusan Sunway (Bahagian Hartanah), Sarena Cheah.

 

Ini tercetus apabila Sunway dilaporkan merancang untuk menjual gabungan saham baharu dan lama merangkumi 20% hingga 25% pemegangan ekuiti dalam Sunway Medical Centre. 

 

Menurut sumber dalam laporan media pada 4 September 2020, hasrat itu telah sampai kepada ‘pembeli’ berpotensi.

 

Sarena Cheah
Sarena Cheah

 

“Sunway Medical Centre merupakan ‘calon’ terbaik bagi penyenaraian dan ia berprestasi sangat baik. Saya fikir anda dapat lihat bahawa kami meletakkan pelaburan besar untuk pengembangannya.

 

“Saya fikir ia (Sunway Medical Centre) bersedia. Kami akan mengumumkan kemudian. 

 

“Saya fikir ia merupakan usaha niaga baik bagi unit penjagaan kesihatan kami terutamanya apabila ramai yang mula mengambil tahu mengenai penjagaan dan kesihatan,” katanya selepas membentangkan perancangan Sunway Property pada 2021 dalam satu taklimat media secara maya hari ini. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia sekitar September tahun lalu, Sunway mengesahkan bahawa kumpulan syarikat itu telah melantik Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) untuk meneroka pilihan pelaburan strategik bagi portfolio unit penjagaan kesihatannya. 

 

Sunway berkata, ini sejajar dengan objektifnya untuk menambah baik nilai pemegang saham dengan meneroka dan menilai beberapa pilihan bagi perniagaannya. 

 

“Sekiranya terdapat sebarang perkembangan, syarikat akan melaksanakan pengumuman yang diperlukan, mengikut Syarat Penyenaraian Pasaran Utama di Bursa Malaysia Securities Berhad,” kata Sunway ketika itu.

 

Ketika diminta mengulas mengenai nilai tawaran awam awal (IPO) setakat ini, Cheah tidak dapat memberi sebarang maklumat terkini dan menyerahkannya kepada pihak Lembaga Pengarah Sunway untuk membuat sebarang pengumuman. 

 

“Tetapi, saya ingin meyakinkan bahawa apa sahaja usaha kami ke dalam IPO atau usaha niaga bersama, ini adalah untuk kebaikan dan kemampanan syarikat, sama ada dari segi kewangan mahupun pertumbuhan perniagaan,” ujarnya lanjut.

 

Sebelum itu, cabang hartanah Sunway, Sunway Property meletakkan sasaran jualan hartanah mencecah RM1.6 bilion pada tahun ini, meningkat RM300 juta berbanding tahun sebelumnya. 

 

Baca : Sunway Property sasar RM1.6 bilion jualan 2021

 

Sasaran itu melibatkan tiga pasaran iaitu Malaysia dengan 40% pelancaran serta Singapura dan China masing-masing memegang 30%. -