Sunway Medical Centre, A-Look Eyewear bekerjasama tawar perkhidmatan penjagaan mata komprehensif kepada penduduk Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

Sunway Medical Centre, A-Look Eyewear bekerjasama tawar perkhidmatan penjagaan mata komprehensif kepada penduduk Lembah Klang

Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr. Seow Vei Ken (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan A-Look Eyewear Group, Datuk Terry Ngeow (dua dari kanan) dalam satu majlis yang berlangsung baru-baru ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - Sunway Medical Centre (SMC) menjalinkan perkongsian strategik bersama A-Look Eyewear Group bagi menawarkan perkhidmatan penjagaan mata secara komprehensif kepada masyarakat di sekitar Lembah Klang. 

 

Menerusi jalinan kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menganjurkan inisiatif kesedaran awam mengenai kesihatan mata serta memberi penekanan kepentingan pemeriksaan mata secara berkala.

 

Program itu termasuk menyediakan perkhidmatan penjagaan mata yang boleh diakses seperti pemeriksaan kesihatan mata dan cermin mata percuma kepada komuniti yang kurang mendapat layanan selain menyasarkan kanak-kanak di rumah anak yatim dan orang asli yang tinggal di kawasan terpencil.

 

Kerjasama itu juga membolehkan pelanggan A-Look Eyewear mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan mata khusus dengan mudah di Sunway Eye Centre.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr. Seow Vei Ken berkata, Sunway Eye Centre merupakan antara 28 Pusat Kecemerlangan SMC dan ia memainkan peranan penting dalam ekosistem keseluruhan kumpulan.

 

"Jalinan kerjasama itu akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua organisasi bagi menawarkan penjagaan mata menyeluruh kepada komuniti selain berfungsi sebagai pusat rujukan pilihan kepada A-Look Eyewear," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan A-Look Eyewear Group, Datuk Terry Ngeow berkata, misi utama mereka bukan sahaja menyediakan rumusan cermin mata tetapi mengutamakan kesejahteraan menyeluruh kepada pelanggan dan kerjasama dengan SMC itu adalah sejajar dengan matlamat kumpulan itu.

 

"Kerjasama itu akan menggabungkan kesihatan mata dan penggunaan cermin mata bagi meningkatkan kesihatan visual pesakit untuk penglihatan yang jelas," katanya. - DagangNews.com