Sunway Property sasar RM1.6 bilion jualan 2021 | DagangNews Skip to main content

Sunway Property sasar RM1.6 bilion jualan 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Cabang hartanah Sunway Berhad, Sunway Property meletakkan sasaran jualan hartanah mencecah RM1.6 bilion pada tahun kewangan semasa, meningkat RM300 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya. 

 

Sasaran itu melibatkan tiga pasaran iaitu Malaysia dengan 40% pelancaran serta Singapura dan China masing-masing memegang 30%, jelas Pengarah Urusan Pengarah Urusan Sunway (Bahagian Hartanah), Sarena Cheah.

 

Katanya, kesemua pelancaran itu bernilai RM2.8 bilion. 

 

“Sudah tentu angka ini ditetapkan pada penghujung tahun lalu, di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum dilaksanakan. 

 

Sarena Cheah
Sarena Cheah

 

“Kami agak berhati-hati ketika ini, tetapi angka itu akan memberi panduan kepada kami untuk melangkah ke hadapan, dengan harapan dapat mencapai prestasi lebih baik,” katanya pada taklimat media berhubung perkembangan terkini Sunway Property bagi tahun 2021.

 

Di Malaysia, pelancaran baharu menyaksikan pembangunan Sunway Belfield Tower A dan Sunway Artessa di Kuala Lumpur, D’Hill dan Jernih Residence di Selangor, kesemuanya melibatkan nilai RM1.1 bilion, ujar Cheah.

 

Sementara pelancaran baharu di Singapura dan China bernilai RM1.68 bilion, di mana masing-masing melibatkan pembangunan perumahan kondominium, katanya lagi.

 

Pada sesi berkenaan, Cheah mendedahkan Sunway Property berjaya mencatatkan nilai jualan 2020 yang melepasi sasaran, iaitu RM1.3 bilion berbanding RM1.1, walaupun terjejas akibat penularan COVID-19.

 

"Secara keseluruhannya, jualan di Malaysia mencatatkan prestasi agak baik mungkin kerana jenama dan lokasi produk hartanah dan kami memastikan pembeli dapat membeli (hartanah) apa yang mereka mahukan. 

 

"Kedua, sudah tentu Singapura. Pada awalnya, segmen hartanah di negara itu terjejas teruk, tetapi kerajaannya bertindak dengan pantas dan Sunway Property menerima keyakinan daripada pembeli semula," katanya. 

 

Pada tahun kewangan sama, Sunway Property mencatatkan pelancaran bernilai RM1.9 bilion, meningkat daripada RM1.2 bilion yang dicapai pada 2019 dengan jualan belum dibilkan mencecah RM2.2 bilion. 

 

Setakat ini, Sunway Property mempunyai sekitar lima projek yang sedang dijalankan dan majoriti daripadanya melibatkan pengembangan produk hartanah sedia ada, berdasarkan pembentangan Cheah. 

 

Bagi prospek perniagaan Sunway Property, Cheah berkata, syarikat pemaju itu berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya ke dalam pasaran sewa terutamanya melibatkan produk-produk kediaman seperti konsep tempat tinggal bersama (co-living). 

 

“Kami juga mahu memenuhi keperluan mereka yang lebih berminat untuk menyewa ketika ini. Kami melihat segmen yang melibatkan generasi lebih muda itu mungkin mahu membeli rumah agak lewat dan cenderung untuk menyewa terlebih dahulu ekoran beberapa faktor. 

 

“Menerusi kaedah ini, kami membenarkan mereka menyewa dengan kediaman Sunway Property, tetapi dalam masa sama, kami akan kreditkan 25% daripada bayaran sewa untuk digunakan sebagai wang pendahuluan bagi pembelian mana-mana produk hartanah Sunway Property,” ujarnya lanjut. 

 

Cheah melihat segmen sewa mempunyai pasaran yang besar terutamanya di kawasan Lembah Klang di mana syarikat itu mahu menembusinya secara beransur-ansur. 

 

“Jika kita lihat, Sunway Property sememangnya telah bertapak dalam pasaran ini, cumanya melibatkan sewaan pejabat, pusat beli belah dan ruang komersial.

 

“Jadi, kami mahukan pengembangan perniagaan sewa Sunway Property ke dalam ruangan penginapan yang akan melengkapkan segmen hartanah kami,” jelasnya. - DagangNews.com