Suruhanjaya Tenaga saran Pengendali Titik Pengecasan dapatkan lesen pepasangan Sistem Pengecas EV sebelum 31 Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

Suruhanjaya Tenaga saran Pengendali Titik Pengecasan dapatkan lesen pepasangan Sistem Pengecas EV sebelum 31 Mac 2023

KUALA LUMPUR 16 Dis - Suruhanjaya Tenaga (ST) menyarankan kepada Pengendali Titik Pengecasan (CPO) yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) agar segera mendapatkan lesen pengagihan awam yang sah bagi pepasangan Sistem Pengecas EV (EVCS) di negara ini, termasuk yang telah beroperasi, selewat-selewatnya pada 31 Mac depan.

 

ST Selaku badan kawal selia sektor tenaga berkata, lesen pepasangan EVCS perlu dimohon oleh CPO  bagi memastikan pepasangan seumpama itu di seluruh negara selamat digunakan dan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

 

"Keperluan ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 9(1)(b) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Pindaan 2015) [Akta A1501] yang menyatakan lesen akan diberikan kepada CPO yang menjalankan aktiviti pembekalan elektrik bagi tujuan komersial mengikut lokasi pemasangan, bagi tempoh 10 tahun,” katanya kenyataan itu.

 

Katanya, skop pelesenan ST bagaimanapun hanya mengawal selia aspek keselamatan dan teknikal sahaja dan tidak melibatkan aspek kawal selia ekonomi.

 

“CPO yang menjalankan operasi pepasangan EVCS tanpa lesen sah dari ST adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 37(5) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447],” katanya, lapor Bernama, hari ini.

 

Di bawah peruntukan itu, jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi  RM100,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan. - DagangNews.com