Swift Energy Technology bakal disenaraikan di Pasaran ACE, terbitkan IPO 250 juta saham | DagangNews Skip to main content

Swift Energy Technology bakal disenaraikan di Pasaran ACE, terbitkan IPO 250 juta saham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Swift Energy Technology Bhd, pembekal sistem automasi industry dan kuasa memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk mengumpul dana bagi pembinaan kemudahan baharu dan pengembangan di luar negara.

 

Cadangan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 250.2 juta saham baharu dan tawaran penjualan 50.04 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian, menurut draf prospektus yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia. 

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian menawarkan pelabur sehingga 25% kepentingan dalam syarikat itu.

 

"Kumpulan kami merancang untuk memasang aras mezanin dalam kemudahan fabrikasi sedia ada dan membina kemudahan fabrikasi tiga tingkat baharu di kawasan dalam perkarangan ibu pejabat dan kemudahan fabrikasi kami yang sedia ada,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Syarikat itu juga telah memperuntukkan sebahagian daripada hasil untuk membiayai pembelian peralatan dan perisian menjelang 2027 serta menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan. 

 

Selanjutnya, Swift Energy juga merancang untuk berkembang di Indonesia dengan menubuhkan anak syarikat milik penuh dengan pejabat di Jakarta, katanya.

 

Hasil selebihnya daripada IPO akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, sebagai modal kerja, dan membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Swift Energy memberi focus kepada kawalan proses, fotovoltaik, pengagihan kuasa dan sistem lain terutamanya yang memberi perkhidmatan kepada pelanggan dalam sektor minyak dan gas (O&G), produk bijirin, minyak makan dan industri pembuatan makanan.

 

Syarikat yang beroperasi di Malaysia, Thailand, Singapura dan China, memperoleh untung bersih sebanyak RM11.95 juta bagi tahun berakhir 30 September 2023, dengan hasil RM92.43 juta.

 

Terbitan awam itu melibatkan 50.04 juta saham baharu untuk rakyat Malaysia, 125.1 juta saham untuk pelabur bumiputera dan 25.02 juta saham lagi untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Sementara itu, tawaran untuk jualan saham sedia ada akan dilakukan melalui penempatan persendirian untuk memilih pelabur dan hasil akan disalurkan sepenuhnya kepada pemegang saham jualan termasuk Blueprint Capital Sdn Bhd, yang dikawal oleh Ketua Pegawai Eksekutif Swift Energy, Tan Bin Chee dan Pengarah Hal Ehwal Korporat, Suzana Abu Bakar.

 

M&A Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO. - DagangNews.com