Syarat MM2H diharapkan diguna pakai ke atas peserta baharu sahaja - MCCC | DagangNews Skip to main content

Syarat MM2H diharapkan diguna pakai ke atas peserta baharu sahaja - MCCC

GAMBAR hartanah bertingkat di pusat bandar Kuala Lumpur oleh Deva Darshan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Syarat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang lebih ketat diperkenalkan oleh kerajaan disarankan untuk tidak terguna pakai ke atas peserta sedia ada, sebaliknya hanya dikenakan ke atas permohonan baharu. 

 

Dewan Perdagangan Malaysia-China melihat tidak adil untuk menggunakan syarat yang sama ke atas peserta MM2H sedia ada, yang mahu memperbaharui pas mereka. 

 

Walaupun pengaktifan semula program MM2H dialu-alukan, namun MCCC menekankan bahawa kehidupan dan mata pencarian rakyat perlu menjadi keutamaan buat masa ini.

 

“Usaha kita pada Fasa 1 dan 2 (Pelan Pemulihan Negara) memastikan kesihatan rakyat (terpelihara) dan keadaan pandemik di bawah kawalan perlu dikekalkan.

 

“Selepas lebih daripada setahun pelbagai perintah kawalan pergerakan diperkenalkan, mata pencarian rakyat terjejas teruk. Tumpuan kita buat masa ini perlu diarahkan kepada mempercepatkan vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok supaya perniagaan dapat bermula semula.

 

“Apabila kita telah mencapai semua ini, kita boleh menilai semula MM2H dan meneroka program lain yang bermanfaat untuk pemulihan ekonomi kita,” jelas MCCC dalam satu kenyataan. 

 

Terdahulu, MM2H yang sebelum ini dibekukan kini diaktifkan semula dengan beberapa penambahbaikan dan syarat baharu kepada peserta.

 

Antara syarat yang diperkenalkan adalah menetapkan jumlah bilangan peserta (prinsipal dan tanggungan) pada satu masa tidak melebihi 1% daripada jumlah warganegara Malaysia.

 

Selain itu, hanya peserta yang berkelayakan dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah dibenarkan untuk menyertai program tersebut.

 

Pendapatan luar negara peserta MM2H perlu sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.

 

Program tersebut dilancarkan pada tahun 2002, bertujuan menarik warga asing yang mempunyai kebolehan dan kewangan baik untuk memberi manfaat kepada negara.

 

“MCCC percaya bahawa ini bukan masa tepat untuk menyemak semula terma dan syarat bagi permohonan MM2H. 

 

“Kerajaan sebaliknya perlu mewujudkan lebih banyak faedah dan terma yang baik untuk modal tempatan dan asing menyumbang kepada kebangkitan semula ekonomi selepas COVID-19,” tambah MCCC. - DagangNews.com