Syarat SSA berjaya dipenuhi, syarikat telekomunikasi bakal ambil pegangan ekuiti - DNB | DagangNews Skip to main content

Syarat SSA berjaya dipenuhi, syarikat telekomunikasi bakal ambil pegangan ekuiti - DNB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - Digital Nasional Bhd (DNB) mengesahkan semua syarat terdahulu yang terkandung di bawah Perjanjian Langganan Saham (SSA) berjaya dipenuhi pada 20 Jun 2024.

 

DNB berkata, ia adalah pencapaian itu melibatkan empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) di Malaysia iaitu CelcomDigi Bhd melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd melalui YTL Power International Bhd.

 

"Dengan penyelesaian langkah penting itu, SSA itu dijangka lengkap pada akhir bulan ini untuk semua MNO, selain Telekom Malaysia Bhd (TM) yang akan meningkatkan ekuiti mereka dalam DNB.

 

"Tarikh akhir TM adalah pada 21 Ogos 2024 bagi mendapatkan kelulusan pemegang sahamnya selaras dengan keperluan tadbir urusnya," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada 1 Disember 2023, DNB dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MoF Inc.) memeterai SSA dengan lima MNO bagi membolehkan penyertaan mereka dalam DNB melalui pemilikan ekuiti.

 

Menerusi terma SSA, MNO dijangka secara kolektif memperoleh 70% pegangan ekuiti dalam DNB, dengan setiap MNO memegang 14% kepentingan.

 

Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh MoF Inc., akan mengekalkan 30% kepentingan dan Saham Khas dalam DNB untuk tempoh yang ditetapkan.

 

Kesemua pihak yang terlibat sedang berusaha melengkapkan SSA berkenaan, DNB kekal komited untuk memacu inovasi teknologi dan memperluas perkhidmatan digital di seluruh negara, mendorong Malaysia yang lebih terhubung dan diperkasa secara digital. - DagangNews.com