IPOH 8 Mei - Suntikan pelaburan sebanyak RM100 juta diterima negeri Perak menerusi pembinaan sebuah kilang baharu milik syarikat memproses mineral dari China, Jinjing Silicon Technology Sdn. Bhd. (Jinjing Silicon Technology).
Jinjing Silicon Technology merupakan sebuah syarikat usahasama antara Jinjing Group Ltd. dan Winro Sdn. Bhd. yang merupakan salah satu pemain industri kaca terbesar dunia.
Kilang yang terletak di Silver Valley Technology Park (SVTP) dekat Chemor yang menelan perbelanjaan sebanyak RM40 juta itu dijangka siap tahun hadapan.
Ia juga merupakan kilang pemprosesan pertama di rantau ini yang dibina menggunakan model Built-To-Suit and Lease (BTSL) di atas tapak seluas 4.75 hektar.
Apabila beroperasi kelak kilang ini bakal menyediakan 500 peluang kerja kepada rakyat negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaburan itu juga menjadi inisiatif pembangunan SVTP yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri Perak.
Menurut beliau, kilang ini akan memproses mineral secara komprehensif, merangkumi proses pertengahan dan hiliran.
"Bahan mineral yang diambil dari kawasan yang ditetapkan ini akan dibawa terus ke kilang berkenaan untuk diproses menjadi produk.
"Ia dijangka menghasilkan pengeluaran sebanyak satu juta tan pasir silika putih setahun, 100,000 ribu tan pasir kuartza berketulenan tinggi serta penghasilan bahan silicon untuk digunakan bagi industri tenaga boleh baharu.
"Pelaburan Jinjing Silicon Technology ke dalam industri mineral ini bakal membentuk momentum baharu untuk membangunkan aktiviti pertengahan dan hiliran serta merevolusikan nilai rantaian secara keseluruhan," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembangunan kilang pemprosesan mineral tersebut, hari ini.
Hadir sama Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou Youbin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Pembinaan kilang menggunakan model tersebut merupakan inisiatif PKNPk secara usahasama dengan Jinjing Silicon Technology.
Pelaburan Jinjing Silicon Technology ini membabitkan penghasilan kaca berkualiti tinggi yang digunakan dalam teknologi sistem tenaga solar.
Pada 27 April tahun lalu, kerajaan negeri Perak menerusi PKNPk telah memeterai perjanjian dengan syarikat berkenaan bagi pembinaan kilang tersebut. - DagangNews.com