Syarikat China, Xinda labur RM2.3 bilion bangunkan industri perlombongan batuan kuarza Kemaman, Terengganu | DagangNews Skip to main content

Syarikat China, Xinda labur RM2.3 bilion bangunkan industri perlombongan batuan kuarza Kemaman, Terengganu

Orang ramai melihat hasil batuan kuarza dan seramik di perasmian pejabat Xinda Development Sdn Bhd di Kemaman, Terengganu.
oleh HUSNA ABDULLAH

KEMAMAN 10 Sept - Industri perlombongan dan cari gali batuan kuarza yang dijalankan Xinda Development Sdn Bhd bakal menukar landskap ekonomi di negeri Terengganu, khususnya di daerah Kemaman.

 

Syarikat dari China yang berdaftar di Malaysia itu telah memeterai satu perjanjian bersama Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Pmint) untuk pajakan tanah bagi membangunkan industri tersebut dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.3 bilion.

 

Pengerusi Xinda Development Sdn Bhd, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, bertempat di Bandar Baru Cheneh, industri tersebut bakal mewujudkan lebih 3,700 peluang pekerjaan.

 

Menurutnya, pelaburan dari China itu adalah perintis untuk menjadikan Terengganu sebagai hab industri batu kuarza dan bahan binaan yang unggul di negara ini, khususnya di Pantai Timur.

 

"Mengikut jadual, fasa pertama yang akan dibangunkan oleh syarikat ialah sebanyak RM600 juta melibatkan kerja-kerja perlombongan dan pembinaan kilang.

 

"Ini akan dibangunkan di kawasan seluas 48 hektar dengan pembinaan kilang lebih separuh dari keluasan itu.

 

"Fokus untuk fasa pertama ini ialah mengeluarkan bahan binaan daripada kuarza untuk tujuan eksport ke luar negara," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ibu pejabat Xinda Development Sdn Bhd di sini baru-baru ini.

 

 

xinda
Tengku Hassan Tengku Omar (kiri) menyaksikan Ir Saiful Azmi Suhaili menandatangani plak perasmian ibu pejabat Xinda Development di Kemaman, Terengganu.

 

 

Fasa pertama projek itu akan bermula tahun depan dengan mewujudkan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

 

Selain Xinda Development, sebuah lagi syarikat iaitu My Mineral Sdn Bhd akan bertanggungjawab mengendalikan aspek perlombongan batuan kuarza.

 

Ia termasuk menguruskan lesen perlombongan, sumber mineral, skim pengendalian melombong dan memastikan aktiviti perlombongan mengikut undang-undang negara ini.

 

Dua lagi syarikat iaitu Litong Building Materials Sdn Bhd dan Ansun New Materials Technology Sdn Bhd pula akan terlibat dalam pembuatan dan pengeluaran slab serta  pengisaran batuan kuarza.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, fasa kedua pula ialah membangunkan kawasan seluas 72 hektar di Teluk Kalong melibatkan perkhidmatan teknologi tinggi dan digital serta aktiviti pengeluaran produk dan bioteknologi.

 

"Semua bahan mentah dari kuari akan diproses di kilang tersebut dan dijadikan produk akhir untuk dieksport ke pasaran luar.

 

"Kita yakin apabila siap kelak, industri perlombongan ini akan mengubah wajah Kemaman sebagai daerah baharu hab pengeluaran batuan kuarza dan seramik," katanya. - DagangNews.com