Syarikat JV Sunmow raih subkontrak pembinaan jalan di utara Sarawak bernilai RM1.02 bilion | DagangNews Skip to main content

Syarikat JV Sunmow raih subkontrak pembinaan jalan di utara Sarawak bernilai RM1.02 bilion

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Sunmow Holding Berhad menerusi syarikat usaha sama (JV) dengan Kemena Holding Sdn Bhd (KHSB) menerima subkontrak pembinaan Fasa 2 Projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak atau Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) berjumlah RM1.02 billion.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Sunmow berkata, anak syarikat milik penuhnya, Sunmow Construction Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian JV (JVA) dengan Kemena pada 2 April 2024.

 

Kata syarikat pembinaan itu, perjanjian JV tersebut untuk tujuan mengemukakan tawaran tender Pakej 4B, Fasa 2 Projek SSLR dari Bukit Pagon ke Long Luping.

 

Menurutnya, pada 16 Ogos 2024, pihak JV telah menerima surat penerimaan bertarikh 16 Ogos 2024 (LOA) daripada Maltimur Aktif Unggul JV Sdn Bhd (MAUJV), kontraktor utama untuk projek tersebut berkaitan dengan tender dan kerja-kerja subkontrak yang perlu dilaksanakan bagi projek berkenaan.

 

"Jumlah kontrak untuk kerja-kerja adalah RM1.02 bilion.

 

"Tarikh untuk penyelesaian praktikal kerja-kerja adalah 48 bulan dari tarikh LOA dan tarikh penyelesaian praktikal sebenar adalah tarikh yang disahkan oleh MAUJV dalam sijil penyelesaian praktikal," katanya hari ini.

 

Menurut Sunmow, LOA tidak dijangka mempunyai kesan material terhadap aset bersih setiap saham Kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.

 

Katanya, kerja-kerja pembinaan akan dibiayai oleh dana yang dijana sendiri Syarikat termasuk tuntutan kemajuan dan/atau pembiayaan projek, dengan campuran yang tepat akan diputuskan pada tarikh kemudian dengan mengambil kira tahap gearings Sunmow dan anak-anak syarikatnya, kos pembiayaan serta keperluan tunai dalaman untuk operasi perniagaan Kumpulan.

 

"Usahasama ini akan memberikan peluang untuk mengukuhkan pendapatan kewangan Kumpulan Sunmow dan seiring dengan rancangan Kumpulan Sunmow untuk terus memanfaatkan kekuatan dalam aktiviti pembinaan serta berkembang dalam pembinaan jalan raya serta mempelbagaikan aliran pendapatan yang melengkapi untuk memberikan nilai kepada pemegang saham," jelasnya.

 

Katanya, Sunmow Construction akan menjadi rakan kongsi utama dalam JV dan akan memimpin usahasama berkenaan dengan pemilikan 70% dan Kemena 30%.

 

"MAUJV telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia yang diwakili Kementerian Kerja Raya sebagai Kontraktor Reka dan Bina untuk mereka bentuk, melaksanakan, menyelia dan mengurus pembangunan jalan utama baharu sejauh kira-kira 335 kilometer yang dikenali sebagai Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 sebagai sebahagian daripada Sarawak–Sabah Link Road," ujarnya. - DagangNews.com