Syarikat kerjasama LSH Capital terima konsesi 20 tahun daripada kerajaan bagi operasi Menara Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Syarikat kerjasama LSH Capital terima konsesi 20 tahun daripada kerajaan bagi operasi Menara Kuala Lumpur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) mengumumkan bahawa kerjasama antara anak syarikatnya, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd telah dipilih untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, syarikat kerjasama itu telah menerima surat daripada Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS), memaklumkan bahawa kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menganugerahkan konsesi 20 tahun kepada syarikat itu.
 

Katanya, usaha sama itu adalah 70% dimiliki oleh LSH Best Builders dan baki 30% oleh Service Master.

 

 

"Gabungan kekuatan dan kepakaran LSH Best Builders dan Service Master membolehkan usaha sama itu membuka kunci sinergi yang meningkatkan nilai dengan peningkatan kecekapan, inovasi yang lebih baik dan keupayaan untuk menyediakan rumusan yang dipertingkatkan dalam meremajakan semula Menara Kuala Lumpur," katanya.

 

Pengerusi Bukan Eksekutif LSH Capital, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, pihaknya berbesar hati kerana dipilih oleh kerajaan untuk menjadi sebahagian daripada destinasi telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan ikonik yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur.

 

Beliau berkata, kerjasama LSH Best Builders dan Service Master membayangkan Menara Kuala Lumpur dengan pengalaman pelawat yang tinggi melalui pemodenan dan pengubahsuaian sambil meningkatkan potensi sebenar yang memberi penekanan kepada ruang untuk pengaturcaraan runcit, kebudayaan dan rekreasi.

 

"Kami teruja untuk menyampai dan melaksanakan visi Menara KL yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia," katanya.

 

Menara Kuala Lumpur telah dibuka pada 1996, merupakan menara telekomunikasi etinggi enam tingkat dan 421 meter yang terletak di Jalan Bukit Nanas yang dibina untuk meningkatkan kualiti telekomunikasi an penyiaran di Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Menara Kuala Lumpur kini merupakan menara ketujuh tertinggi di dunia. - DagangNews.com