Syarikat restoran Chef Wan terima suntikan pelaburan RM20 juta daripada Globaltec | DagangNews Skip to main content

Syarikat restoran Chef Wan terima suntikan pelaburan RM20 juta daripada Globaltec

Pelaburan Globaltec membolehkan perluasan 11 lagi restoran De.Wan 1958 di seluruh negara.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Globaltec Formation Bhd bakal melabur RM20 juta bagi memiliki 45% kepentingan di dalam Metta Food & Lifestyle Sdn Bhd, milik bersama chef selebriti, Chef Wan.

 

Globaltec berkata bahawa secara bersama, kedua-dua pihak berhasrat untuk mengembangkan dan membangunkan perniagaan makanan dan minuman (F&B) Metta.

 

Metta diasaskan pada 2019 oleh Andre Shum dan Datuk Redzuawan Ismail, lebih dikenali sebagai Chef Wan.

 

Metta, sebuah syarikat pemegangan pelaburan, terlibat terutamanya dalam industri runcit F&B, mengendalikan restoran bertema jamuan dengan penjenamaan De.Wan 1958 oleh Chef Wan, dan kafe di bawah nama Cafe Chef Wan.

 

Kedai-kedai restoran De.Wan 1958 adalah restoran masakan Melayu premium yang menyediakan santapan ala jamuan.


 

chef wan
Chef Wan menyambut kedatangan Uncle Roger ke restoran De.Wan 1958 baru-baru ini.

 


Sementara itu, cawangan Cafe Chef Wan menawarkan masakan antarabangsa moden dan kegemaran tempatan.

 

Metta juga terlibat dalam penjualan dan pengeluaran barangan pengguna yang bergerak pantas berkaitan perniagaannya, seperti sos berjenama, mentega dan rempah ratusnya sendiri.

 

"Metta mempunyai rancangan untuk mengembangkan cawangan De.Wan 1958 dan Cafe Chef Wan daripada empat sekarang kepada 13 di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang," kata Globaltec dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada masa ini, Metta telah pun memperoleh penyewaan dan merencanakan pembukaan satu lagi cawangan De.Wan 1958 dan empat cawangan Cafe Chef Wan di lokasi strategik menjelang awal 2023.


 

Tan Sri Goh Tian Chuan
                               Tan Sri Goh Tian Chuan

 


Pengasas Globaltec dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, memanfaatkan reputasi dan penjenamaan antarabangsa chef selebriti seperti Chef Wan dan kedai F&B di seluruh negara (dan serantau pada masa hadapan) — dengan akses kepada orang ramai, terutamanya pasaran runcit yang mewah — dan juga keupayaan restoran bertemakan jamuan De.Wan 1958 untuk mengadakan acara/fungsi berskala besar untuk korporat atau badan swasta, Globaltec akan dapat meningkatkan profil dan pengiktirafannya yang seterusnya, boleh memberi manfaat kepada perniagaan sedia ada.

 

Sementara itu, Chef Wan berkata kerjasama itu akan membolehkannya merealisasikan idea masakannya lebih jauh dan membolehkan capaian yang lebih luas untuk semua orang berkongsinya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Metta, Andre Shum berkata, kedudukan kewangan Globaltec yang kukuh dan kepakaran kewangan korporat akan dapat memacu fasa pengembangan restoran Chef Wan seterusnya di Malaysia, dengan potensi pengembangan antarabangsa. - DagangNews.com