Syarikat telco tidak perlu buat pelaburan tambahan untuk Jendela | DagangNews Skip to main content

Syarikat telco tidak perlu buat pelaburan tambahan untuk Jendela

Jendela

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini tidak perlu membuat pelaburan tambahan dalam Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara itu diumumkan dalam taklimat bersama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr. Fadhlullah Suhaimi semalam.

 

"SKMM memberitahu pelaburan berjumlah RM21 bilion dalam Jendela bagi tahun 2021 hingga 2025 akan menjadi 40%/60% yang akan disumbangkan oleh Dana Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) dan sektor swasta.

 

"Tidak ada pelaburan tambahan diperlukan yang menjangkaui pelan perniagaan sedia ada syarikat telco," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam taklimat yang sama, SKMM turut memberitahu pihaknya tidak berharap untuk menggunakan penguatkuasaan bagi mencapai sasarannya.

 

"Sebagai contoh, ia tidak akan memaksa Standard Wajib pada Kualiti Perkhidmatan (QoS) untuk mencapai sasaran liputan 96.9% 4G pada akhir 2022.

 

"Sebaliknya, akan membantu syarikat telekomunikasi untuk untuk mencapainya dengan mengurangkan karenah dan halangan lain untuk dilancarkan di peringkat negeri," tambah CGS-CIMB Research lagi.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research berpendapat bahawa SKMM tidak berhasrat mengurangkan kadar borong Penetapan Harga Akses (MSAP) dalam penilaian akan datang.

 

Jelasnya, ini kerana SKMM dilihat berpuas hati dengan keseimbangan antara harga jalur lebar gentian runcit dan QoS.

 

Meskipun begitu, SKMM dilihat akan memperketatkan lagi syarat bagi operator untuk menyediakan jaringan kepada pemohon dalam masa 14 hari di kawasan dengan liputan gentian.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research membuat keputusan untuk mengekalkan saranan 'neutral' saham syarikat telekomunikasi.

 

"Kami percaya pendekatan pragmatik SKMM terhadap Jendela adalah positif bagi syarikat tekelomunikasi Malaysia.

 

"Walaupun begitu, kami mengekalkan penarafan 'neutral' kerana kami melihat data kewangan yang lemah dan prospek pertumbuhan pendapatan bagi pengendali mudah alih pada tahun kewangan 2020 hingga 2021," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com