Syed Hamadah Syed Othman dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Tabung Haji baharu | DagangNews Skip to main content

Syed Hamadah Syed Othman dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Tabung Haji baharu

Syed Hamadah Syed Othman
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei - Lembaga Tabung Haji (TH) mengalu-alukan pelantikan Syed Hamadah Syed Othman sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH yang baharu seperti yang diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

 

Pelantikan Syed Hamadah yang berkuat kuasa pada 6 Mei 2023 adalah bagi menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin yang telah melengkapkan penggal perkhidmatan dua tahun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, CEO dan Ahli Lembaga TH pada 5 Mei 2023.

 

Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, beliau yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Syed Hamadah.

 

"Beliau akan dapat meneruskan usaha memperkukuhkan TH dari segi tadbir urus dan operasi ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan di masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Azman berkata, ahli lembaga dan pengurusan kanan TH menzahirkan penghargaan kepada Amrin atas komitmen serta usaha beliau.

 

"Kami mengucapkan terima kasih kepada beliau mengatur strategi bagi mencapai aspirasi Hijrah24 dalam melonjakkan aktiviti pengurusan haji, operasi cawangan dan pelaburan supaya TH terus kekal berdaya saing, mampan serta berwibawa selari dengan arus semasa dalam aspek pengukuhan struktur tadbir urus korporat, dan inisiatif digitalisasi," katanya.

 

Terdahulu, Syed Hamadah mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan beliau merupakan pengarah serta rakan kongsi di Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd.

 

 

th

 

 

Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dan pakar dalam perundingan multinasional dan organisasi tempatan mengenai reka bentuk pencen, pembiayaan, perakaunan pencen, penggabungan dan pengambilalihan.

 

Syed Hamadah merupakan CEO Kumpulan Wang Persaraan dari 2018 hingga 2020, sebuah agensi yang bertanggungjawab mengurus dan melabur dana pencen kerajaan untuk faedah jangka panjang pesara kerajaan.

 

Beliau juga merupakan felo di Fakulti Aktuari dan Felo di Persatuan Aktuari Malaysia. Beliau mempunyai Ijazah Kepujian dalam Matematik Aktuari dan Statistik dari Heriot Watt University, Edinburgh pada 1994. - DagangNews.com