Synergy House manfaat teknologi AI tingkatkan kecekapan operasi, kembangkan jualan segmen B2C | DagangNews Skip to main content

Synergy House manfaat teknologi AI tingkatkan kecekapan operasi, kembangkan jualan segmen B2C

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - Synergy House Bhd diunjur memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mendapatkan maklumat terkini selain meningkatkan kecekapan operasi sebagai usaha mengembangkan jualan segmen perniagaan-ke-pengguna (B2C).

 

Rakuten Trade berkata, selaras dengan peningkatan berterusan dalam penggunaan AI, ia membolehkan kumpulan itu menyelaraskan operasinya pada masa akan datang.

 

Katanya, sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya, kumpulan itu meyasarkan untuk mengukuhkan segmen B2C yang memberikan margin yang lebih baik dan pada FY23, segmen itu menyumbang hasil sebanyak 55% berbanding 25.6% pada FY22.

 

"Menjelang FY24, Synergy House merancang untuk mengembangkan segmen B2C mereka kepada lebih 2,000 unit penyimpanan stok (SKU) dan mereka juga akan memasuki pasaran Perancis dengan menggunakan semula model perniagaan di United Kingdon (UK).

 

"Dengan operasi di lima pasaran dan 11 platform termasuk di Wayfair, Amerika Syarikat, mereka menyasarkan 70% hasil daripada segmen B2C menjelang FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan memberi keutamaan kepada pengembangan pengimport globalnya, Synergy House akan menggunakan lebih daripada empat platform baharu pada 2024 seperti Amazon Jerman, Kanada dan Mano-Mano Perancis.

 

"Kami meramalkan pertumbuhan pendapatan FY24 hingga FY26 yang kukuh dengan purata sekitar 30%, disokong oleh pengembangan eksponen bahagian B2C dan segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang berdaya tahan.

 

"Tambahan pula, Synergy House mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh, dengan nisbah penggearan 0.6x pada 4QFY23," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.05 sesaham. - DagangNews.com