PERANG tanah suci Palestin sudah menjangkau tempoh melebihi sebulan dan penentangan yang dijenamakan Taufan al Aqsa ini semakin meruntun hati dan emosi seluruh masyarakat dunia yang berperikemanusiaan.
Serangan nekad pejuang Islam Briged Al-Qassam untuk mengembalikan semula kemuliaan tanah kiblat pertama umat Islam wajar disokong dan didokong oleh seluruh umat Islam.
Gerakan berstrategi tanpa sedikit pun ketakutan, operasi kumpulan elit Briged Al-Qassam seperti memberi isyarat kepada dunia, Israel bukanlah terlalu kuat untuk dikalahkan. Pastinya bagi setiap gerakan pertempuran, risiko yang perlu ditanggung ialah kehilangan nyawa walaupun ia bukanlah suatu halangan bagi para mujahid, malah menjadi matlamat utama dan cita-cita mereka.
Melewati hari ke-30 perjuangan ini telah mensyahidkan 10,022 orang warga Gaza, puluhan ribu yang cedera, dan lebih 700 ribu orang hilang tempat kediaman. Namun, tiada rasa kesal di dalam hati mereka akibat kehilangan anggota keluarga lantaran amat memahami erti, risiko dan tuntutan sebuah perjuangan iaitu pengorbanan. Bagi mereka hanya ada dua pilihan, hidup mulia atau mati syahid di jalanNya.
Berbanding saudara seagama kita di Palestin, kita masih mengecapi nikmat terbesar bagi seorang manusia iaitu nikmat keamanan dan hidup dalam suasana tenteram dan sejahtera. Keamanan yang kita nikmati hari ini pastinya telah menempuh satu perjalanan yang panjang dan perit. Ianya berkat wasilah perjuangan dan pengorbanan para pejuang negara untuk memastikan kita dapat menikmati keamanan dan hidup tenteram di negara yang berdaulat.
Pastinya, tidak sedikit darah dan keringat yang tertumpah oleh para mujahidin negara yang terdiri daripada para ulama, guru agama, anggota polis, tentera serta orang perseorangan yang bermati-matian mempertahankan dan membebaskan negara dari cengkaman kuasa luar. Para ulama juga berperanan besar dalam membangkitkan semangat perjuangan dan kepahlawanan dalam usaha menentang penjajahan.
Harga yang mahal iaitu nyawa merupakan mahar bagi sebuah perjuangan di jalanNya. Kematian di jalanNya bukan sesuatu yang sia-sia malah mendapat kedudukan yang amat tinggi disisiNya. Firman Allah SWT: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”. (Surah Ali Imran: 169).
Konsep mati syahid dalam ajaran Islam boleh difahami dengan mudah oleh seluruh umatnya. Justeru itu, pelaksanaannya dengan mudah direalisasikan setelah dipasakkan asasnya ke dalam diri setiap pejuang yang berperang di jalanNya.
Allah SWT telah mengarahkan orang-orang yang beriman supaya sentiasa bersedia membela agama Islam, mempertahankan negara dan berjuang dengan ikhlas dan berani. Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Taubah ayat 14, “Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.”
Allah SWT juga menegaskan bahawa orang-orang yang mengaku beriman akan diuji sehingga jelas nyata orang-orang yang benar-benar berjuang dan berjihad mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Allah SWT pastinya tidak mensia-siakan mereka yang berjuang keranaNya, malah Allah SWT menjanjikan kurniaan pahala berlipat kali ganda sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An-Nisa': 95 - 96, “Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar, iaitu beberapa darjat kelebihan daripada-Nya dan keampunan serta rahmat belas kasihan dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Ganjaran mati syahid adalah amat besar dan tidak dapat ditentukan dan dihitungkan oleh manusia. Allah SWT berfirman dalam surah Muhammad ayat 4 - 6 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka. Allah akan memimpin mereka yang berjuang (ke jalan mendapat sebaik-baik balasan) dan menjadikan keadaan mereka baik dan berguna (di dunia dan di akhirat). Serta memasukkan mereka ke dalam Syurga yang telah dijanjikan dan diterangkan sifat-sifatnya kepada mereka.”
Secara asasnya, para ulama membahagikan mati syahid kepada tiga iaitu, pertama syahid dunia dan akhirat. Ia bermaksud orang beriman yang berjuang secara ikhlas di jalan Allah SWT, untuk mempertahankan agama Islam dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata, lalu mati di medan perang.
Mereka tidak dalam keadaan hayah mustaqirrah (masih hidup) sehingga tamat peperangan dengan kaum musyrikin. Kematian ini dianggap syahid di akhirat kerana mereka mendapat ganjaran syahid di sisi Allah SWT, dan dikatakan syahid di dunia kerana mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan, tidak disolatkan jenazah mereka malah dikebumikan terus dengan darah dan pakaian mereka.
Ia berdasarkan hadith daripada Saidina Jabir RA, “Nabi SAW pernah menghimpunkan dua lelaki dari mereka yang telah dibunuh di (peperangan) Uhud seraya baginda bertanya kepada mereka siapakah antara mereka yang mempelajari lebih banyak Al-Qur’an? Dan ketika salah seorang dari mereka ditunjuk, baginda mengarahkannya agar diletakkannya di lahad kubur terlebih dahulu. Baginda bersabda “saya saksi ke atas mereka.” Maka baginda memerintahkan supaya mereka dikebumikan dengan darah mereka, tidak boleh disolatkan, dan mereka tidak boleh dimandikan”. (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari).
Kedua, syahid dunia iaitu sesiapa yang berperang dan mati di jalan Allah SWT tetapi dalam masa yang sama melakukan perkara yang menghalangnya daripada syahid (mawani’ al-syahadah), antaranya berperang di jalan Allah SWT kerana dia hanya mahukan ghanimah (harta rampasan perang), atau berperang untuk menunjukkan keberanian, atau mendapat kedudukan dihadapan manusia atau seumpamanya bagi tujuan kepentingan duniawi.
Bagi kategori ini, ia dianggap syahid dunia, iaitu tidak disolatkan jenazah, tidak dimandikan dan dikafankan. Namun, pada masa yang sama tidak dianggap mati syahid di akhirat, kerana tidak mendapat pahala sebagai syahid yang sempurna dan urusan akhiratnya adalah antara dia dengan Allah SWT.
Ketiga, syahid akhirat iaitu mereka yang tidak mati syahid di medan perang, tetapi golongan yang disebutkan di dalam hadith Nabi SAW dengan istilah syahid. Antaranya ialah orang yang mati kerana sakit perut, taun, ditimpa bangunan yang runtuh, dan lainnya, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadith Nabi SAW, “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas,orang yang ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah”. (Riwayat Imam al-Bukhari & Muslim).
Manakala hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Atik bahawa Nabi SAW bersabda, “Orang yang mati syahid selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh ; iaitu korban wabak taun adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, penderita penyakit radang paru-paru adalah syahid, mati kerana sakit perut adalah syahid, mati akibat ditimpa runtuhan adalah syahid, seorang wanita yang mati kerana melahirkan anak adalah syahid dan orang yang mati kerana kebakaran adalah syahid.” (Riwayat Imam Malik).
Bagi kematian yang tergolong dalam syahid di akhirat, mereka mendapat ganjaran dan pahala, tetapi ganjarannya berbeza dengan golongan pertama iaitu syahid dunia dan akhirat. Hukumnya adalah sama dengan adat manusia mati biasa, iaitu dimandikan, dikafankan, dan disolatkan jenazah.
Selautan doa dipanjatkan oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia buat saudara segama kita di Palestin. Pengorbanan yang diberikan tiada khilaf padanya melainkan ianya syahid yang mulia di tingkatan darjat tertinggi disisi Allah SWT. Firman Allah SWT, “Dan barangsiapa berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka akan kami berikan pahala yang besar kepadanya.” (Surah An-Nisa’: 74)
Daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Rasulullah SAW bersabda, "Bagi orang yang mati syahid ada enam keistimewaan iaitu: Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, melihat tempatnya di dalam syurga, dilindungi dari azab kubur, terjamin keamanannya dari malapetaka besar merasakan kemanisan iman, dikahwinkan dengan bidadari, diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya".
Berbahagialah wahai ibu-ibuku, bapa-bapaku, saudara-saudaraku dan anak-anak kecilku di Palestin dengan janji benar syurga yang tertinggi daripada Allah SWT yang Maha Pengasih.
Perjuangan dan pengorbanan kalian tidak sia-sia malah menjadi asas kepada kebangkitan semula Islam yang akan bermula di tanah suci Palestin, dengan izin Allah SWT. - DagangNews.com