TA Research jangka permintaan bagi pembiayaan sewa beli kereta terpakai kekal stabil | DagangNews Skip to main content

TA Research jangka permintaan bagi pembiayaan sewa beli kereta terpakai kekal stabil

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - TA Research menjangkakan permintaan keseluruhan untuk pembiayaan sewa beli kereta terpakai akan kekal stabil didorong aktiviti ekonomi yang sihat.

 

Firma itu berkata, peningkatan kos sara hidup disebabkan oleh peningkatan tekanan inflasi dan kenaikan kadar faedah boleh menjejaskan pendapatan boleh guna peminjam serta keupayaan untuk membayar balik.

 

Katanya, sentimen perniagaan dan pengguna yang lebih baik akan menyokong permintaan kukuh untuk produk perabot berkualiti dan bernilai untuk wang.

 

"Selaras dengan rancangan untuk meningkatkan jejaknya dalam pasaran borong perabot rumah domestik, ELK-Desa Resources Berhad akan terus bekerjasama rapat dengan pengedar dan pengilang perabot untuk mencari produk perabot yang sempurna bagi pengguna Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan sebelum cukai sebanyak 141% kepada RM15.23 juta bagi 2QFY23.

 

Hasil kumpulan bagi suku itu juga meningkat sebanyak 54% kepada RM36.04 juta dan ia didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen sewa beli dan perabot. 

 

BACA JUGA: Untung sebelum cukai ELK-Desa Resources melonjak 141% kepada RM15.23 juta bagi 2QFY23

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mengumumkan cadangan pelaksanaan terbitan bonus sebanyak 151.6 juta saham baharu berdasarkan 1 saham baharu bagi setiap 2 saham kumpulan sedia ada.

 

Katanya, terbitan bonus yang dicadangkan tidak dijangka mempunyai sebarang kesan ke atas pendapatan kumpulan, bagaimanapun pendapatan sesaham (EPS) kumpulan dianggarkan mencair sekitar 33% akibat daripada peningkatan bilangan saham.

 

"Cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan yang diperolehi dan dijangka siap pada 1QFY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) lebih tinggi RM1.66 daripada RM1.50 sesaham. - DagangNews.com