TA Securities jangka stok simpanan minyak sawit meningkat pada suku kedua tahun ini | DagangNews Skip to main content

TA Securities jangka stok simpanan minyak sawit meningkat pada suku kedua tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jun - TA Securities menjangkakan stok simpanan minyak sawit meningkat pada suku kedua tahun ini didorong pengeluaran lebih tinggi.

 

Katanya, kehadiran semula pekerja asing selepas sambutan Ramadan dan hari raya berkemungkinan mempercepatkan serta membawa kepada peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit berbanding sebelum ini.

 

"Pengeluaran mungkin sedikit memuncak berlaku pada Mei dan dilihat akan mengekang kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

 

"Kami juga menjangkakan harga minyak sawit dalam beberapa bulan akan datang dipengaruhi oleh pengeluaran minyak sawit di negara pengeluar utama (Malaysia dan Indonesia) dan corak cuaca di kawasan utama penanaman kacang soya di Brazil dan Argentina," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan kewangan syarikat perladangan pada suku pertama tahun ini secara amnya bercampur-campur dengan empat syarikat di bawah liputannya melaporkan pendapatan selaras dengan jangkaan, tiga jatuh di bawah, dan satu melebihi ramalan.

 

Kebanyakan syarikat perladangan mencatatkan pendapatan lebih lemah kecuali SD Guthrie Bhd, FGV Holdings Bhd dan TSH Resources Berhad.

 

"Syarikat-syarikat ini menunjukkan peningkatan sumbangan pendapatan daripada bahagian huluan, terutamanya disebabkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan pengurangan kos pengeluaran.

 

"Sebaliknya, dalam bahagian hiliran, SDG merupakan satu-satunya syarikat yang melaporkan keuntungan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, disebabkan oleh peningkatan permintaan bagi kilang penapisan pukal dan berbeza-beza Asia Pasifik," katanya.

 

TA Securities berkata, bagi suku tersebut, sektor itu mencatatkan peningkatan keuntungan ketara sebanyak 32.5% walaupun terdapat penurunan hasil ketara sebanyak 27.5%.

 

Dari segi pengeluaran BTS, SDG, Kuala Lumpur Kepong Bhd, dan Kim Loong Resources Berhad menyaksikan pertumbuhan pengeluaran yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, antara 3.5% hingga 8.5% anakala selebihnya mengalami pertumbuhan pengeluaran negatif, antara 1.4% hingga 9.8%.

 

"Kami menyemak naik penarafan sektor itu daripada 'underweight' kepada 'neutral' dengan jangkaan peningkatan pendapatan yang berterusan pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com