TA Securities menilai SBH Marine yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 24 sen | DagangNews Skip to main content

TA Securities menilai SBH Marine yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 24 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - TA Securities memberi harga sasaran sebanyak 24 sen terhadap SBH Marine Holdings Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 15 kali ganda daripada pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

Katanya, penilaian itu dibuat selepas mengambil kira rancangan kumpulan untuk mengembangkan kehadiran serantaunya dan populasi global yang semakin meningkat.

 

"Selain itu, kami juga mengambil kira rancangan kumpulan itu bagi mengembangkan ternakan udang akuakultur dan kilang pemprosesan makanan lautnya, yang akan meningkatkan margin keuntungan serta mengurangkan kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan penyelidikan pasaran bebas yang diterbitkan dalam prospektus tawaran awam permulaan (IPO), nilai eksport makanan laut beku di Malaysia bernilai RM2.2 bilion pada 2023 susut 1% dari tahun ke tahun akibat permintaan yang lemah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SBH Marine sasar RM39.6 juta daripada IPO di Pasaran ACE sebagai modal pengembangan perniagaan

 

“Bagaimanapun, nilai eksport dijangka meningkat 5.5% kepada RM2.3 bilion pada 2024, didorong oleh peningkatan kesedaran kesihatan yang membawa kepada peralihan daripada makanan dalam tin kepada makanan laut beku.

 

“Secara keseluruhannya, kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) lima tahun diunjur sebanyak 5.2% dari 2023 hingga 2027 (daripada RM2.2 bilion pada 2022 kepada RM2.9 bilion pada 2027)," katanya.

 

TA Securities menjangkakan pendapatan FY24 syarikat tidak berubah, disebabkan permintaan yang lebih perlahan di Eropah dan rantau Asia Barat.

 

Katanya, kelembapan itu berpunca daripada ketidaktentuan politik di Asia Barat dan konflik antara Rusia dan Ukraine, yang telah menjejaskan sentimen pengguna di Eropah.
 

"Kami menjangkakan kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 12% kepada RM14.5 juta bagi FY24 dan 21% kepada RM17.4 juta untuk FY25.

 

"Pertumbuhan itu akan disokong oleh peningkatan permintaan daripada pelanggan sedia ada, dan usaha untuk mendapatkan pelanggan baharu yang berpotensi melalui penyertaan dalam pameran dan pameran perdagangan di luar negara," katanya. - DagangNews.com