TA Securities ramal jualan domestik keluli pulih secara beransur-ansur pada akhir 2024 | DagangNews Skip to main content

TA Securities ramal jualan domestik keluli pulih secara beransur-ansur pada akhir 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jun - Walaupun berlaku kemerosotan global berterusan dalam harga dan permintaan keluli kesan krisis hartanah China serta isu lebihan kapasiti, TA Securities meramalkan jualan domestik akan pulih secara beransur-ansur pada akhir tahun ini.

 

Katanya, pemulihan itu dijangka didorong oleh peningkatan permintaan daripada sektor pembinaan serta perindustrian dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh penyambungan semula projek infrastruktur utama.

 

"Selain itu, pemulihan semula sektor hartanah domestik terbukti memberi manfaat kepada industry bahan binaan, khususnya kepada pengeluar keluli.

 

"Pemulihan berterusan dalam sektor hartanah, peningkatan dalam pelancaran projek dan aktiviti pembinaan, permintaan untuk produk keluli juga dijangka bertambah baik, membawa kepada purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Pada suku pertama 2024, semua syarikat bahan binaan di bawah liputan firma penyelidikan itu melaporkan keputusan yang di bawah jangkaan kecuali CSC Steel Holdings Bhd.

 

Ann Joo Resources Bhd terus melaporkan kerugian bersih teras disebabkan ASP yang lebih rendah daripada jangkaan dan pengurangan jumlah jualan kesan permintaan pasaran yang lemah.

 

Sementara itu, Chinwell Holdings Bhd mencatatkan keputusan mengecewakan, dengan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan daripada bahagian pengikat dan wayarnya, didorong oleh ketidaktentuan pasaran dan permintaan lemah di rantau Eropah.

 

"Keputusan Cahya Mata Sarawak Bhd juga meleset daripada jangkaan kami disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah daripada jangkaan pada bahagian simennya, disebabkan aktiviti pembinaan yang lebih perlahan di Sarawak.

 

"CSC Steel merupakan satu-satunya syarikat yang melaporkan hasil sejajar dengan jangkaan. Kami mengaitkan kejayaan itu dengan jumlah jualan yang lebih tinggi di tengah-tengah pesanan yang semakin meningkat daripada pelanggan dan pemulihan harga keluli," katanya.

 

TA Securities mengekalkan aranan 'neutral' terhadap sektor itu dan pada masa sama menyemak turun penarafan Cahya Mata Sarawak daripada 'pegang' kepada 'jual' kerana percaya bahawa saham itu dinilai secara adil. 

 

"Sementara itu, kami optimis mengenai prospek jangka panjang industri keluli, berikutan komitmen yang lebih kukuh daripada kerajaan bagi mengurangkan lebihan kapasiti dan lambakan keluli berikutan moratorium dua tahun terhadap pengembangan serta  kepelbagaian industri pembuatan keluli negara," katanya. - DagangNews.com