KUALA LUMPUR 8 Mei - Prospek Tasco Holdings Bhd dijangka kekal cerah disokong sumbangan daripada gudang baharu dengan margin lebih tinggi, penjimatan kredit cukai dan peningkatan aktiviti perdagangan dalam rantau intra-Asia.
RHB Investment berkata, Pusat Logistik Westport (WPLC) Blok B kini diduduki sepenuhnya oleh pelanggan daripada sektor pembuatan, dengan sumbangan penuh akan bermula 1QFY25 dan seterusnya.
Walaupun Pusat Logistik Shah Alam (SALC) kini sudah siap, firma penyelidikan itu berkata, penyerahan kepada pelanggan asas runcit hanya akan siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada Jun 2024.
“Kami menganggarkan gudang ini akan menjana hasil tambahan tahunan antara RM50 juta hingga RM56 juta dan pendapatan sekitar RM10 juta hingga RM16 juta.
"Berdasarkan semakan terkini, kami mendapati terdapat perubahan dalam profil penyewa SALC dengan Gudang B seluas 150,000 kaki persegi akan diambil oleh pelanggan jangka pendek sehingga pelanggan automotif berpotensi berpindah ke sana menjelanh Januari 2025," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, penghantaran muatan kumpulan, proses tender ditetapkan untuk dilakukan dalam beberapa bulan akan datang bagi membolehkan kumpulan memperoleh lebih banyak perniagaan untuk penghantaran muatan udara dan penghantaran muatan laut.
Walaupun rantaian bekalan sejuk beku kekal mencabar bagi jangka pendek disebabkan boikot yang berterusan, firma penyelidikan itu melihat kuantiti pesanan minimum yang mengandungi risiko menurun.
"Memandang ke hadapan, Tasco optimis terhadap prospek setiap segmennya.
"Kami mengulangi keyakinan terhadap Tasco, disokong oleh tanda-tanda pemulihan 4QFY24. Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham," katanya.- DagangNews.com