TA Securities semak turun unjuran pendapatan Duopharma sebanyak 20.1% pada FY24 dengan andaian jualan turun 5.5% | DagangNews Skip to main content

TA Securities semak turun unjuran pendapatan Duopharma sebanyak 20.1% pada FY24 dengan andaian jualan turun 5.5%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - TA Securities menyemak turun unjuran pendapatan Duopharma Biotech Bhd sebanyak 20.1% pada FY24 selepas menurunkan andaian jualan sebanyak 5.5% dan meningkatkan kadar susut nilai sebanyak 1.5 mata.

 

Katanya, untung bersih kumpulan itu pada FY23 susut 24.9% kepada RM52.6 juta meskipun mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 1.1% kepada RM704.7 juta.

 

"Keputusan yang lemah itu disebabkan hasil yang lebih rendah daripada segmen penjagaan kesihatan pengguna sebanyak 25%, tarif elektrik yang lebih tinggi, kos kewangan yang lebih tinggi dan bayaran lebih masa.

 

"Dari segi campuran jualan, sektor awam dan swasta masing-masing menyumbang 44% dan 48% daripada hasil FY23 manakala eksport menyumbang 8%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tender baharu ubat-ubatan di bawah senarai pembelian produk yang diluluskan (APPL) yang seharusnya diberikan pada awal suku pertama tahun ini dijangka diberikan pada Mac atau April 2024 dipercayai akibat perubahan dalam Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Katanya, pengurusan berkongsi bahawa rundingan harga telah selesai dan kini menunggu Surat Setuju Terima daripada kerajaan. Pada masa ini, pesanan daripada hospital dan klinik adalah berdasarkan pesanan yang masuk untuk pengisian semula.

 

Permintaan dijangka lebih kukuh bagi jangka pendek kerana hospital dan syarikat konsesi perlu membuat stok semula sebaik sahaja Surat Setuju Terima ditandatangani.

 

"Walaupun berlaku kelewatan, kami tetap yakin dengan prospek Duopharma dengan menjangkakan pemulihan pada 2024 dengan kontrak baharu yang akan dilaksanakan oleh kumpulan itu dengan kerajaan.

 

"Pengurusan berkongsi bahawa dalam kontrak APPL baharu, jumlah mungkin lebih tinggi daripada 50 unit penyimpanan stok (SKU) semasa.

 

"Dari segi harga, kami percaya ia akan lebih tinggi sedikit kerana tempoh kontrak baharu dijangka berdasarkan kadar pertukaran RM4.70 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.47 sesaham. - DagangNews.com