TA Securities semak turun unjuran untung bersih Ann Joo sebanyak 17.7% kepada RM58 juta bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

TA Securities semak turun unjuran untung bersih Ann Joo sebanyak 17.7% kepada RM58 juta bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - TA Securities menyemak turun unjuran untung bersih Ann Joo Resources Bhd sebanyak 17.7% kepada RM58 juta bagi FY24 kesan daripada purata harga julan (ASP) produk keluli yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Katanya, pasaran keluli panjang domestik kekal lemah kerana tiada pemangkin kukuh daripada pelancaran projek infrastruktur mega pada tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun yakin tetapi kekal berhati-hati bahawa keuntungannya akan bertambah baik secara beransur-ansur, disokong oleh strategi pengoptimuman kos yang berterusan.

 

"Permintaan keluli dijangka didorong oleh permulaan semula projek kereta api mega dan sektor hartanah yang kukuh di wilayah Johor dalam jangka sederhana," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM197.5 juta pada FY23 berbanding kerugian bersih teras RM154.4 juta pada FY22 apabila hasil mereka merosot 17.3% kepada RM2.5 bilion.

 

Prestasi yang lebih lemah itu disebabkan terutamanya oleh ASP dan jualan produk keluli yang lemah akibat pemulihan permintaan yang perlahan di tengah-tengah lebihan kapasiti.

 

Walaupun hasil 4QFY23 turun sebanyak 5.1%, kerugian bersih teras mengecil kepada RM37.6 juta daripada RM53.5 juta pada 3QFY23, hasil daripada margin operasi yang lebih baik hasil daripada normalisasi beransur-ansur kos bahan mentah yang tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berikutan kos bahan mentah kembali stabil, pihaknya percaya bahawa margin kumpulan akan bertambah baik secara beransur-ansur dari semasa ke semasa.

 

Bagaimanapun, TA Securities tetap berhati-hati terhadap prospek pasaran keluli global, kerana ASP dan permintaan mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih.

 

Selain itu, moratorium dua tahun yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang membenarkan penilaian semula bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri keluli tempatan, dipercayai memberi impak positif kepada sektor itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.11 berbanding RM1.01 sesaham," katanya. - DagangNews.com