Ta Win dapat kontrak bekalkan komponen kenderaan kepada Aptiv | DagangNews Skip to main content

Ta Win dapat kontrak bekalkan komponen kenderaan kepada Aptiv

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Ta Win Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Cyprium Wire Technology Sdn Bhd (CWT) bakal membekalkan 13 spesifikasi sistem pengedaran tenaga dan signal, kabel ketegangan tinggi dan bateri serta komponen atau bahagian automotif lain untuk model kereta tempatan di Malaysia kepada Aptiv PLC.

 

Dalam makluman Ta Win di Bursa Malaysia, CWT telah menerima kontrak kerangka yang dikeluarkan oleh Aptiv pada 9 Ogos 2021. 

 

Kontrak berkenaan akan berkuatkuasa selama enam bulan bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2021. 

 

“Berdasarkan perbincangan yang masih berjalan dengan kumpulan Aptiv, pengurusan CWT menjangkakan kuantiti jumlah kontrak di bawah Kontrak Kerangka itu mungkin mencecah sehingga 10,000 kilometer (km) setiap bulan.

 

“Kerangka Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan Ta Win dan perolehan sesaham (EPS) apabila keuntungan daripada kontrak itu wujud,” jelas Ta Win.

 

Aptiv merupakan syarikat teknologi dan mobiliti yang tersenarai di Bursa New York (NYSE), di mana ia mereka bentuk dan mengeluarkan komponen kenderaan serta menyediakan penyelesaian elektrikal, elektronik dan teknologi keselamatan aktif untuk pasaran automotif dan kenderaan komersial global.

 

Aptiv membolehkan dan menawarkan penyelesaian mobiliti pintar yang menyeluruh, teknologi keselamatan aktif dan pemanduan berautonomi. 

 

Pelanggannya termasuk 23 daripada 25 pengeluar peralatan automotif asli terbesar di dunia seperti Bayerische Motoren Werke AG (BMW), General Motors Company (GM), Stellantis N.V., Toyota Motor Corporation, Tesla Inc. dan Volkswagen (VW) Group. 

 

Aptiv kini telah meluas ke 44 buah negara dan mempunyai kira-kira 18,200 saintis, jurutera dan juruteknik yang menumpukan kepada pembangunan penyelesaian produk berkaitan pasaran untuk pelanggannya. - DagangNews.com