SETIU 29 Ogos - Projek ladang induk pengganda kambing tenusu di Kampung Bari, Setiu yang mula beroperasi awal tahun ini bakal memacu sektor agro makanan di Terengganu seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat tempatan.
Projek tersebut mendapat dana RM1.8 juta dari Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Kementerian Kewangan dengan visi menjadi hab pengeluar susu, baka dan daging kambing yang melalui amalan penternakan baik serta moden.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ketika ini terdapat 200 ekor kambing baka Saenen dari Australia di ladang tersebut dengan pengeluaran susu sebanyak 500 liter sehari.
"Setiap tahun, ladang ini dijangka melahirkan 240 ekor anak kambing dan pengeluaran susu pula meningkat kepada 90,000 liter setahun.
"Ketika ini, terdapat enam usahawan inkubator yang terdiri dari belia anak tempatan yang dibimbing oleh Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang memberi fokus terhadap bidang ternakan dan pertanian.
"Projek ini bertindak sebagai serampang dua mata, iaitu menjadi hab pengeluar susu, baka dan daging serta menjadi pusat inkubator melatih usahawan ternakan yang berdaya saing di Terengganu selaras visi kita mencapai matlamat sekuriti makanan negara," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Semua usahawan inkubator itu menerima elaun bulanan RM1,200 dan diberi bimbingan melalui pengurusan ternakan secara efisien dengan nilai tambah melalui pemerkasaan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) serta penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata kesemua enam usahawan itu akan dilatih selama dua tahun dan apabila tamat kelak, mereka akan dibekalkan dengan enam ekor kambing bernilai RM36,000 untuk memulakan projek ternakan sendiri.
"Tidak sekadar elaun bulanan RM1,200 itu, malah sepanjang dua tahun di sini, sebanyak 20 peratus dari hasil jualan susu kambing disimpan untuk mereka sebagai modal permulaan ternakan.
"Jadi, usahawan inkubator ini tidak berdepan masalah modal kerana telah dibekalkan kambing dan wang tunai oleh TADC malah pemantauan projek ternakan akan diteruskan dengan bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu agar mereka terus berjaya," katanya.
Beberapa usahawan inkubator yang ditemui pula mengakui mereka gembira kerana berpeluang menyertai program tersebut untuk mengubah kehidupan dalam bidang ternakan.
Muhammad Al Khausar Abdullah, 27, dari Kampung Pandan Jaya di sini berkata dia akan memanfaatkan semua ilmu yang diperolehi sepanjang program itu untuk memulakan projek ternakan sendiri kerana bidang itu menjanjikan pulangan yang lumayan jika diusahakan dengan serius.
"Seawal 8 pagi, kami telah diajar mengenai pengurusan ternakan yang bagus dengan modul pembelajaran yang lengkap oleh TADC dan JPV Terengganu.
"Kami berada di ladang ini hingga pukul 5 petang setiap hari dan mendapat pendedahan yang lengkap mengenai semua aspek berkaitan kambing terutama dalam memastikan pengeluaran kualiti susu terbaik untuk pasaran komersil," katanya.
Seorang lagi usahawan inkubator, Nik Afzam Muhammad Yusof, 24 berkata dia sangat menghargai usaha kerajaan yang membantu golongan belia menceburi bidang ternakan kambing dan menyifatkannya sebagai peluang keemasan untuk menikmati masa depan yang lebih cerah.
"Kami diajar mengenai pelbagai perkara dari segi penjagaan, pencegahan penyakit, makanan dan minuman yang sesuai untuk kambing baka ini. Berada di ladang memberi peluang terbaik untuk kami mempraktikkan apa yang diajar sebagai persediaan bergelar penternak berjaya satu hari nanti," katanya. - DagangNews.com