Tak semua mampu, harga siling durian akan dilaksana? | DagangNews Skip to main content

Tak semua mampu, harga siling durian akan dilaksana?

durian

KUALA LUMPUR 9 Julai - Sudah tiba masanya pihak kerajaan campur tangan bagi memperkenalkan harga siling durian mengikut gred.

Kenyataan tersebut dibuat Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (DPMM), Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan yang menyedari adanya golongan yang kurang berkemampuan membeli buah tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (DPMM), Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan
Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (DPMM), Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan

 

"Bukan semua orang mampu membeli durian, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak ramai. Sebagai contoh, apa perasaan seorang ayah kepada lima anak yang mampu membeli sebiji atau dua, tetapi apabila pulang ke rumah mendapati buah yang dibeli rosak atau isinya keras.

"Harga durian jenis Musang King mempunyai gred A,B dan C. Harga siling ditetapkan berdasarkan gred buah dan tindakan boleh diambil kepada peniaga yang menjual lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan, katanya seperti dipetik Bernama.

Terdahulu, media tempatan turut melaporkan sikap segelintir peniaga durian yang meletakkan harga buah berkenaan mengikut jenis model kereta yang diguna pembeli.

Dalam laporan tersebut, harga durian dinaikkan dua hingga tiga kali ganda kepada pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah semata-mata untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

durian

Helah peniaga juga dikesan melalui penggunaan alat penimbang yang tidak ditentusah selain tidak meletakkan tanda harga pada produk durian jualan mereka.

Tambah beliau lagi, alasan buah tersebut bermusim menyebabkan kesukaran pengawalan harga adalah tidak wajar.

"Nasihat saya apabila beli buah durian, jangan bawa balik sekali dengan kulit, sebaliknya kupas durian dan letak isi dalam bekas terlebih dahulu.

"Ini cara untuk kita tidak mudah tertipu," katanya. - DagangNews.com