Tambah baik perniagaan Felda, PM luluskan penerbitan sukuk RM9.9 bilion | DagangNews Skip to main content

Tambah baik perniagaan Felda, PM luluskan penerbitan sukuk RM9.9 bilion

Felda

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Selain bersetuju untuk melupuskan RM8.3 bilion pinjaman peneroka Felda, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluluskan penerbitan sukuk yang dijamin kerajaan bernilai RM9.9 bilion.

 

Beliau berkata, kelulusan penerbitan sukuk berkenaan adalah bagi tujuan menambah baik model perniagaan Felda sekali gus memperkasa atau 'revitalise' Felda hingga kembali berdiri teguh.

 

.

 

"Saya percaya dengan penstrukturan semula pinjaman-pinjaman tersebut, ia akan memgembalikan fokus Felda terhadap usaha pemerkasaan perniagaan terasnya. 

 

"Persetujuan Kabinet terhadap cadangan Pasukan Khas sebelum ini, juga telah membolehkan Felda meningkatkan pegangan saham dalam FGV sehingga 81.3%. 

 

"Saya difahamkan, perkembangan ini akan mewujudkan satu sinergi perladangan yang akan melonjakkan produktiviti seterusnya keuntungan Kumpulan Felda," katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 yang dijalankan secara maya hari ini.

 

Baca: Kerajaan setuju lupus bersyarat RM8.3 bilion hutang peneroka Felda

 

Meneruskan ucapan tersebut, beliau memberitahu, peningkatan penglibatan Felda dalam industri hiliran yang mempunyai nisbah keuntungan lebih tinggi pula akan membolehkan syarikat perladangan itu mencapai sasaran untuk kembali mencatat keuntungan menjelang tahun 2023.

 

 Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pelancaran Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 yang dijalankan secara maya hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pelancaran Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 yang dijalankan secara maya hari ini.

 

Di bawah strategi serampang tiga mata yang terakhir iaitu penyusunan semula (reform), beliau amat teruja dengan Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dirangka khusus untuk menggalakkan warga Felda menceburi bidang keusahawanan.

 

Usaha itu adalah sebagai batu loncatan bagi reformasi atau penyusunan semula komuniti Felda yang berdikari dan lestari.

 

"Saya yakin penjayaan program ini dapat mengurangkan kebegantungan kepada kitaran harga komoditi serta dapat mempelbagaikan sumber pendapatan warga Felda.

 

"InsyaAllah, pendekatan baru ini akan menjadikan Felda sebagai satu contoh rangka tindakan untuk pembangunan luar bandar akan datang, sejajar dengan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030)," tambah beliau lagi. - DagangNews.com