‘Tambah’ dan ‘beli’ saham Petronas Gas, saran penganalisis | DagangNews Skip to main content

‘Tambah’ dan ‘beli’ saham Petronas Gas, saran penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Dua firma penyelidik menyarankan untuk ‘tambah’ dan ‘beli’ saham Petronas Gas Berhad (PGB) berdasarkan pengembangan perolehan syarikat itu pada suku ketiga 2020 (3Q20). 

 

Prestasi kewangan 3Q20 PGB melebihi ramalan yang dibuat oleh CGS-CIMB Research dan MIDF Research.

 

“Kami mengekalkan saranan ‘tambah’ berdasarkan profil perolehan stabil, kunci kira-kira yang memberangsangkan dan kadar hasil dividen baik walaupun ketika persekitaran kadar faedah yang rendah,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Firma penyelidik itu meningkatkan sasaran harga PGB kepada RM18.60.

 

Senada itu, MIDF meningkatkan penarafan saham PGB daripada ‘neutral’ kepada ‘beli’ dengan harga sasaran RM17.90. 

 

“Kami pada awalnya bimbang akan kenaikan pendapatan PGB yang terhad pada suku akan datang memandangkan pemindahan aset yang berterusan daripada kos penggantian susut nilai (DRC) ke nilai buku bersih (NBV) di bawah IBR.

 

“Namun, jangkaan itu beralih positif apabila syarikat berkenaan berjaya mengimbangi penurunan daripada segmen perniagaan dikawal selia dengan mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan sampingan,” kata MIDF dalam nota kajian berasingan. 

 

PGB menyaksikan pengembangan keuntungan bersih 3Q20 syarikat sehingga 36.9% daripada tempoh sama tahun lalu kepada RM591.0 juta. 

 

Ini menjadikan perolehan kumulatif sepanjang sembilan bulan tahun kewangan 2020 (9M20) mencatatkan nilai RM1,658.2 juta. 

 

CGS-CIMB percaya keuntungan bersih teras PGB pada FY21 hingga FY22 akan kembali normal dan mungkin lebih lemah berbanding FY20. 

 

“Ini berdasarkan pemulihan dan kos operasi lebih rendah daripada jangkaan di kilang PGB pada FY20 disebabkan oleh COVID-19,” tambah CGS-CIMB. 

 

Sementara itu, MIDF menjangkakan PGB terus berprestasi memberangsangkan pada masa hadapan.

 

“Ini disumbang oleh aliran pendapatan kukuh dan stabil, pertumbuhan penyumbang daripada perniagaan sampingan yang menyokong perolehan teras dan peningkatan pengiktirafan hasil daripada pengangkutan gas dan regasifikasi berikutan tarif yang lebih baik untuk Tempoh Peraturan 1 (RP1).

 

“Dalam pada itu, penilaian syarikat itu kekal kukuh dan kadar hasil dividen FY21 masih memberangsangkan pada 4.0%,” jelas MIDF. - DagangNews.com