‘Tambah’ saham Inari - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

‘Tambah’ saham Inari - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jan. - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham Inari Amertron Berhad (Inari) dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM3.70.

 

Ini susulan sektor semikonduktor menerajui margin keuntungan bersih kumpulan syarikat itu dan Inari dijangka menerima manfaat utama daripada pelancaran telefon pintar 5G.

 

“Inari tetap yakin terhadap permintaan cip frekuensi radio (RF) yang kukuh, didorong oleh pelancaran model telefon pintar 5G baharu.

 

“Inari menyasarkan penjualan RF mampu mencapai 60% hingga 65% daripada penjualan tahun kewangan 2021 (FY21). 

 

“Kami fikir sasarannya dapat dicapai memandangkan kami meramalkan segmen RF mampu mencatat pertumbuhan penjualan lebih daripada 60% berbanding tahun sebelumnya berdasarkan kandungan cip RF yang lebih tinggi di telefon pintar 5G baharu,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

 

Ini juga sejajar dengan ramalan yang dibuat rakan penyelidik CGS-CIMB, Raymond James di mana mengunjurkan 46% pertumbuhan jualan bagi bahagian tanpa wayar Broadcom pada FY10/21. 

 

Ini didorong oleh pertumbuhan kandungan dolar RF setiap telefon dengan peralihan dari 4G ke 5G.

 

Memetik laporan Counterpoint, Apple menghantar 26.9 juta iPhone pada 20 November, jumlah penjualan bulanan tertinggi sepanjang hampir 35 bulan, dan model iPhone 12 merangkumi sekitar 73% daripada jumlah penjualan iPhone pada 20 November.

 

“Dalam pada itu, terdapat impak kecil terhadap operasi susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 kerana perkhidmatan yang berkaitan dengan elektrik dan elektronik dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu.

 

“Kami meningkatkan kadar perolehan sesaham (EPS) FY21 hingga FY23 Inari sebanyak 6% hingga 10% berdasarkan jumlah jualan yang lebih tinggi,” tambah CSG-CIMB. - DagangNews.com