Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Okt. - Syarikat automotif, Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCM) baru-baru ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat di Indonesia, PT SGMW Motor Indonesia (SGMWMI) yang berlangsung sehingga Disember 2021.
Kerjasama itu bertujuan menjalankan kajian pengenalan produk kenderaan SGMWMI menerusi jenama Wuling yang berpotensi di Malaysia dan Thailand.
MIDF Research berkata, perluasan jenama berkenaan adalah positif buat TCM, tetapi bergantung kepada struktur persediaan sama ada Completely Built-Up (CBU) atau Completely Knocked Down (CKD), pilihan model dan perbelanjaan modal yang diperlukan.
“Bagaimanapun, usaha sedemikian mengambil masa memandangkan jenama Wuling tidak dikenali meluas dalam pasaran automotif Malaysia.
“Dalam waktu terdekat, perolehan suku ketiga (3Q20) TCM mungkin terjejas akibat kehabisan penghasilan jenama Almera memandangkan pelancaran baharunya dijangka berlaku pada bulan ini.
“Selain itu, kehilangan pengedaran Nissan di Vietnam memberi impak ke atas kilang Danang yang kurang digunakan oleh kumpulan itu,” kata MIDF Research dalam nota kajiannya.
SGMWMI merupakan usaha sama antara tiga pengeluar kenderaan iaitu General Motors (44% pegangan saham), SAIC Motor Corp (50%) and Wuling (6%).
Dalam tempoh dua tahun selepas merasmikan kilang di Indonesia, SGMWMI berjaya meraih tempat ke-9 dari segi jualan di Indonesia, melibatkan 22,343 unit iaitu 2.2% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV).
Tambah MIDF Research, kerjasama itu merupakan usahasama ‘greenfield’ atau memerlukan pembinaan kilang baharu.
“Ia memerlukan pembinaan jenama yang intensif, peningkatan penjualan baharu dan peniaga rangkaian penjualan selepas dengan tarikan pelanggan yang minimum pada awalnya memandangkan jenama Wuling mempunyai sedikit pendedahan di pasaran Malaysia pada masa ini.
“Walaupun Wuling terbukti berhasil di Indonesia (memandangkan fokusnya pada produk MPV yang berpatutan dan sangat diminati di pasaran Indonesia), kami berpendapat ia memerlukan sedikit masa untuk dilancarkan di sini,” kata MIDF Research.
Sehubungan itu, MIDF Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap saham TCM dengan sasaran harga RM1. - DagangNews.com