KUALA LUMPUR 6 Jun - Tanco Holdings Berhad menerusi Midports Holdings Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CCCC Dredging (Group) Co Ltd bagi membangunkan Pelabuhan Kontena Pintar Kecerdasan Buatan (AI) pertama Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, menerusi perjanjian itu, Midports Holdings telah mendapat kelulusan secara prinsip daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk membangunkan sebuah pelabuhan di Port Dickson.
Katanya, inisiatif itu bertujuan menyuntik tenaga baharu ke dalam ekonomi domestik dan perdagangan antarabangsa serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pelabuhan di rantau ini.
"Pembinaan pelabuhan itu akan menyumbang kepada matlamat Malaysia untuk mewujudkan hab pelabuhan yang moden dan cekap, mempercepatkan pembangunan ekonomi di Negeri Sembilan dan mengukuhkan kedudukan perdagangan global Malaysia," katanya.
Projek Pelabuhan Kontena Pintar AI itu terletak secara strategik di Port Dickson di sepanjang Selat Melaka yang sibuk, menjanjikan faedah ekonomi yang ketara.
Dengan bank tanah seluas 194.2 hektar yang dimiliki oleh Tanco dan akses air dalam semula jadi melebihi 21 meter, pelabuhan itu akan menempatkan kapal kontena terbesar di dunia, meningkatkan keupayaan maritim Malaysia dan mewujudkan zon perindustrian baharu.
Pelabuhan pintar yang dicadangkan itu akan menggabungkan teknologi termaju bagi mengoptimumkan logistik, meningkatkan kecekapan operasi dan meminimumkan kesan alam sekitar.
Perkembangan itu akan menambah baik logistik maritim untuk pemindahan kapal dan kontena pintu masuk dan juga menyumbang kepada pembangunan hab perindustrian, memupuk pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan.
Pengarah Urusan Kumpulan Tanco, Datuk Seri Andrew Tan Juan Suan berkata, kerjasama dengan CCCC Dredging itu menandakan satu langkah penting ke arah merealisasikan visi pelabuhan bertaraf dunia di Port Dickson.
"Kepakaran dan sumber yang dibawa oleh CCCC Dredging akan memastikan kejayaan pelaksanaan projek ini, yang ditetapkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan di rantau ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi CCCC Dredging (Group) Co Ltd, Liu Yongman berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Tanco dalam merealisasikan projek itu.
"Gabungan kepakaran dan sumber kami akan membuka jalan kepada pelabuhan tercanggih untuk meningkatkan infrastruktur maritim Malaysia dan menetapkan piawaian baharu dalam kecekapan operasi dan kelestarian alam sekitar," katanya. - DagangNews.com