Taraf saranan Sunway diturunkan kepada 'Neutral' dengan TP RM3.98 sesaham - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan Sunway diturunkan kepada 'Neutral' dengan TP RM3.98 sesaham - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Julai - MIDF Research menurunkan taraf saranan saham Sunway Berhad daripada 'Beli' kepada kepada 'Neutral' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM3.98 sesaham.

 

Menurut firma penyelidikan itu, penurunan taraf saranan itu disebabkan peningkatan saham Sunway yang terhad.

 

"Kami berpendapat kelebihan-kelebihan sebahagian besarnya telah dimasukkan dalam harga saham Sunway Berhad selepas kenaikan yang ketara dengan keuntungan tahun ini sebanyak 86%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, MIDF Research pada masa sama kekal yakin dengan prospek pendapatan untuk Sunway Berhad yang akan disokong terutamanya oleh pembangunan hartanah dan bahagian penjagaan kesihatan.

 

"Selain itu, penyenaraian bahagian penjagaan kesihatan akan membuka kunci nilai aset penjagaan kesihatannya," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway City Iskandar Puteri meterai penjualan tanah RM380 juta kepada firma Singapura bina pusat data

 

Mengenai penjualan tanah bernilai RM380 juta di Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) di Johor untuk pembangunan pusat data, MIDF Research berkata, penjualan tanah dijangka memberi kesan positif kerana ia membuka nilai tanah milik Sunway Berhad di Johor. 

 

"Perlu diingat bahawa SCIP merupakan perbandaran utama Sunway Berhad di Johor dengan hampir 2,000 ekar tanah dan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM30 bilion. 

 

"Pertimbangan penjualan sebanyak RM380 juta menyaksikan harga jualan sebanyak RM134 setiap kaki persegi yang lebih tinggi daripada harga jualan RM115 setiap kaki persegi bagi penjualan tanah UEM Sunrise pada Jun 2024. 

 

"Sementara itu, pelaburan oleh Equalbase dijangka akan mendorong pertumbuhan SCIP. Prospek bagi SCIP Sunway Berhad semakin meningkat kerana Rapid Transit Link Johor Bahru–Singapura yang dijadualkan siap pada penghujung tahun 2026 akan meningkatkan perhubungan antara Johor ke Republik itu," ujarnya.

 

MIDF Research dalam pada itu tidak membuat sebarang perubahan kepada ramalan pendapatan untuk FY24F/25F/26F kerana keuntungan daripada penjualan tanah, jika ada, akan dikecualikan daripada anggaran pendapatan bersih teras. 

 

"Kami melihat prospek pendapatan yang positif bagi Sunway Berhad disebabkan pengiktirafan pendapatan daripada projeknya di Singapura. 

 

"Selain itu, sumbangan pendapatan daripada bahagian penjagaan kesihatan sepatutnya kekal memberangsangkan pada masa akan datang disebabkan peningkatan kapasiti katil," katanya. - DagangNews.com