Ong Wai Fong (kiri) dan Amanda Woo (kanan) selepas majlis pengumuman integrasi airasia rewards menerusi airasia Super App di Kuala Lumpur hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 15 Dis - Pengguna boleh menikmati pengalaman penggunaan yang lebih lancar selepas aplikasi BIG Rewards digabungkan bersama airasia Super App selain berpeluang menikmati tawaran 20 kali mata ganjaran airasia untuk setiap pembelian bermula 16 hingga 20 Disember ini.
Menerusi penggabungan itu kesemua ciri yang terdapat dalam aplikasi BIG Reward digabungkan menjadi satu menerusi airasia Super App dan semua butiran pengguna serta baki mata ganjaran tersedia di aplikasi berkenaan.
Pengguna aplikasi untuk menempah atau membeli penerbangan, hotel, SNAP, makanan, barangan runcit dan barangan bebas cukai menggunakan mata ganjaran airasia dan mereka akan menikmati promosi penebusan istimewa iaitu 50 mata kepada RM1 (kadar biasa 125 poin kepada RM1) sepanjang tempoh promosi.
Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, pihaknya akan terus menaiktaraf airasia Super App dan memperkukuhkan sistem ganjaran airasia.
Katanya, perniagaan digital syarikat itu merangkumi hampir 20 platform perjalanan, penghantaran dan gaya hidup
“Peningkatan airasia Super App adalah selaras dengan nilai teras airasia untuk memberikan nilai dan tawaran terbaik kepada para penumpang penerbangan kami dan kini kepada pengguna aplikasi harian kami.
"Bukan hanya untuk pengguna, airasia rewards akan memberikan peluang kerjasama baharu dan menarik dengan rakan kongsi penerbangan dan hotel, peniaga dan ramai lagi, seterusnya memberikan para pengguna tawaran yang lebih baik dan pelbagai cara untuk menukar semula mata ganjaran airasia mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kesetiaannya, Ong Wai Fong berkata, integrasi aplikasi tersebut memberikan manfaat bukan sahaja kepada pengguna tetapi kepada rakan kongsi dan pernigaan mereka sendiri.
Katanya, pengguna akan menikmati lebih banyak tawaran serta promosi menerusi aplikasi berkenaan selain mengumpul mata ganjaran airasia dengan setiap transaksi .
"Rakan kongsi kami pula akan mempunyai akses yang lebih luas kepada berjuta-juta pengguna aplikasi untuk meningkatkan jualan dan mengembangkan perniagaan bersama kami.
"Dari segi perniagaan, integrasi ini akan meningkatkan data kami dan membantu kami menawarkan produk yang lebih baik untuk meningkatkan penggunaan dan menjadikan mereka pengguna setia kami," katanya. - DagangNews.com