Tekanan makroekonomi dan sentimen pengguna lemah, TA Securities jangka Astro terus berdepan cabaran operasi | DagangNews Skip to main content

Tekanan makroekonomi dan sentimen pengguna lemah, TA Securities jangka Astro terus berdepan cabaran operasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - TA Securities menjangkakan tekanan makroekonomi, sentimen pelanggan yang lemah serta kekuatan dolar Amerika Syarikat (AS) terus memberi cabaran kepada operasi Astro Malaysia Holdings Berhad dan rancangan transformasi kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu turut menurunkan anggaran pendapatan FY24 kumpulan sebanyak 10.6% kesan daripada pengurangan hasil langganan siaran televisyen berbayar bagi mencerminkan keputusan sebenar 3QFY24.

 

Bagaimanapun, mereka menjangkakan impak pada FY25 akan diimbangi penjimatan kos daripada pelaksanaan skim pemisahan sukarela (VSS).

 

Kumpulan itu juga dijangka memperkenalkan lebih banyak produk kemasukan baharu yang mampu milik bagi merangsang pendaftaran dan menyokong pelanggan.

 

"Pihak pengurusan juga mengekalkan komitmen Astro terhadap rancangan transformasinya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Astro catat rugi bersih RM47.05 juta pada suku ketiga ekoran penurunan langganan, VSS

 

"Bagi memacu pertumbuhan jangka panjang dan mampan,kumpulan akan beri fokus kepada peningkatan kandungan tempatan, mempercepatkan pertumbuhan perniagaan seperti sooka (penstriman freemium), Astro Fibre, perusahaan dan pengiklanan selain rasionalisasi struktur kos warisan.

 

"Berkenaan dengan VSS baru-baru ini, pengurusan berkongsi bahawa mereka telah mengurangkan jumlah pekerja sebanyak 20%, manakala kos sebanyak RM52 juta dijangka dibayar balik dalam tempoh 12 bulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, perolehan suku tahunan Astro susut 10.54% kepada RM828.55 juta daripada RM926.18 juta setahun sebelumnya, disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen televisyennya dan apabila kumpulan itu keluar daripada perniagaan beli-belah di rumah.

 

Bagi sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2023 (9MFY2024), Astro mencatatkan kerugian bersih RM7.51 juta berbanding untung bersih RM204.29 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 36 sen sesaham. - DagangNews.com