Teladan Setia rekod pertumbuhan hasil sebanyak 63.4% kepada RM75.9 juta pada 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

Teladan Setia rekod pertumbuhan hasil sebanyak 63.4% kepada RM75.9 juta pada 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - Syarikat pemaju hartanah, Teladan Setia Group Berhad mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 63.4% kepada RM75.9 juta pada 3QFY22 berbanding RM46.4 juta disokong oleh sejumlah besar projek pembangunan baharu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, jualan hartanah dan pengiktirafan hasil daripada kemajuan pembinaan meningkat.

 

Katanya, keuntungan bersih kumpulan itu juga meningkat 33.9% kepada RM11.7 juta pada 3QFY22.

 

Kumpulan itu merekodkan pertumbuhan teratas sebanyak 64.0% kepada RM210.4 juta bagi 9MFY22 berbanding RM128.3 juta pada 9MFY21 manakala keuntungan bersih dalam tempoh sembilan bulan juga meningkat 50.7% kepada RM35.4 juta. 

 

Pengarah Urusannya, Richard Teo Lay Ban berkata, projek baharu yang diperkenalkan datang tepat pada masanya dan berjaya mendapat manfaat daripada pemulihan sentimen pengguna selepas COVID-19.

 

Katanya, ia ditunjukkan dalam kadar pengambilan yang tinggi di hartanah baharu kami seperti Taman Bertam Heights Fasa 1B dan Taman Desa Bertam Fasa 3B2, sejurus selepas pelancaran masing-masing.

 

Beliau berkata, bagi tempoh 9MFY22, kumpulan itu melaporkan jualan hartanah sebanyak RM263.1 juta, iaitu peningkatan sebanyak 143.8% daripada RM107.9 juta tahun lepas dan mereka telah melancarkan pembangunan berjumlah RM234.5 juta dalam nilai pembangunan kasar.

 

"Walaupun cabaran makro dijangka kekal, kami yakin dengan keupayaan kami untuk mengharunginya berdasarkan pengalaman dan kepakaran kami dalam menawarkan pelbagai jenis hartanah kediaman.

 

"Kami melihat permintaan kukuh dalam segmen mampu milik kerana populasi umum menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi dan kami bersedia untuk memperkenalkan lebih banyak projek rumah mampu milik dalam beberapa bulan akan datang," katanya. - DagangNews.com