Tempahan hotel melonjak 30.74% | DagangNews Skip to main content

Tempahan hotel melonjak 30.74%

KUALA LUMPUR 9 Julai - Jumlah tempahan hotel di seluruh negara melonjak sebanyak 30.74% setakat Jun tahun ini sekali gus membantu memulihkan ekonomi dalam sektor pelancongan negara.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kebanyakan hotel mula dipenuhi pelancong domestik dan perkara tersebut memberi gambaran positif kepada perkembangan ekonomi negara  yang dilanda pandemik COVID-19.

"Jumlah penghuni hotel pada Mac adalah 18.29% dan menurun kepada 8.86% pada April akibat COVID-19. Mei pula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah 9.63 peratus.

"Namun hingga 30 Jun, (tempahan) melonjak kepada 30.74%. Ini menandakan rakyat kita telah mula keluar, mereka berani kerana keadaan negara agak selamat," katanya seperti dipetik Bernama.

Terdahulu, sejak Januari 2020, industri perhotelan telah menerima 193,000 pembatalan tempahan bilik secara mendadak dengan jumlah kerugian melebihi RM75 juta.

Jumlah kerugian kemudiannya dianggarkan mencecah RM500 juta pada awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain 2,041 pekerja sektor berkenaan diberhentikan setakat 20 Mac lalu.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri

 

Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan panduan dalam mengenal pasti zon hijau di negara luar.

"Sebagai contoh, kita tidak merujuk negara Australia secara menyeluruh, mungkin Perth sahaja. Konsep 'Green bubble' atau laluan hijau melibatkan pelonggaran sekatan perjalanan antara dua atau lebih negara yang merekodkan kes COVID-19 pada kadar yang rendah.

"Kami juga sentiasa mengadakan sesi keterlibatan, berbincang dengan penggiat industri pelancongan dan mereka memberi idea, dan kita guna juga sebagai maklum balas untuk kita serahkan kepada kerajaan," jelasnya.

Dalam pada itu, Nancy turut memberitahu, pihaknya juga akan menjalankan perbincangan bersama syarikat penerbangan berkaitan isu yang sama. - DagangNews.com