'Tempoh hayat' industri sarung tangan getah | DagangNews Skip to main content

'Tempoh hayat' industri sarung tangan getah

Industri sarung tangan getah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

Siapa sangka, penularan wabak COVID-19 yang datang 'menduga' ekonomi dunia sebenarnya turut membuka beberapa sisi positif.

 

Ia bukan sahaja mempercepatkan transformasi digital dalam segenap aspek pembangunan seperti perniagaan, malah memberi kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.

 

Sejak berlakunya wabak tersebut, permintaan terhadap produk kesihatan khususnya sarung tangan getah mengalami permintaan yang sangat luar biasa.

 

Permintaan yang boleh diibaratkan seperti 'durian runtuh' itu semakin ketara sama ada bagi kegunaan perubatan dan juga bukan perubatan.

 

Masyarakat turut mendapatkan sarung tangan getah bagi tujuan perlindungan diri dan keluarga khususnya bagi sektor makanan dan minuman.

 

Industri sarung tangan getah

 

Disebabkan itu, kita makin kerap mendengar nama Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan yang sering muncul sebagai syarikat pengeluar sarung tangan yang menjadi tumpuan dengan hasil jualan dan keuntungan yang amat tinggi.

 

Sebagai contoh, Top Glove mencatatkan keuntungan 20 kali ganda lebih tinggi pada suku pertama berakhir 30 November 2020 iaitu sebanyak RM2.41 bilion sekali gus merupakan keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat berkenaan.

 

Bagi Hartalega, keuntungan bersih syarikatnya melonjak lebih 400% kepada RM544.96 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2020 berbanding RM103.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Tidak cukup dengan itu, kegemilangan yang dilalui syarikat-syarikat berkenaan akibat wabak turut mendapat perhatian penggerak industri lain.

 

Industri sarung tangan getah

 

Pada Oktober tahun lalu, syarikat pemaju hartanah, Mah Sing Berhad (Mah Sing) turut mengumumkan hasratnya menyertai sektor sarung tangan getah sebagai langkah tambahan kepada cabang pendapatan.

 

Hasrat berkenaan disusun penuh teratur dan bakal membuat pengeluaran pertama pada April nanti.

 

Mah Sing memberitahu, pengeluaran tersebut dijangka memberi sumbangan yang positif kepada prestasi kewangan kumpulan bermula suku kedua tahun ini.

 

Mah Sing

 

Menjelang Januari 2021 pula, syarikat teknologi terkemuka, Inix Technologies Holdings Bhd (Inix) secara rasminya membuktikan penerokaannya dalam industri sarung tangan getah.

 

Inix memeterai perjanjian jualan saham (SAA) bersama L&S Gloves Sdn. Bhd. yang menyaksikan pengambilalihan 51% kepentingan dalam syarikat pengeluar sarung tangan tersebut.

 

Perjanjian tersebut dijangka mampu menjana pendapatan tahunan sebanyak RM200 juta berdasarkan kapasiti pengeluaran sebanyak 1.4 bilion setahun.

 

Keputusan Inix itu ternyata tidak sia-sia apabila memperoleh kontrak tempahan sarung tangan sebanyak 240 juta kotak untuk tempoh dua tahun bermula 1 Mac 2021 hingga 28 Februari 2023 daripada syarikat Hong Kong.

 

Malah, sekiranya kontrak tersebut dipenuhi, syarikat Hong Kong tersebut turut berhasrat untuk melabur melalui Inix bagi penambahan 20 barisan pengeluaran baharu.

 

Semua itu memberi gambaran jelas bahawa industri sarung tangan getah hari ini berada di kedudukan 'selesa' untuk terus meraih permintaan dan keuntungan.

 

Bagaimanapun, terlintas beberapa persoalan yang harus kita fikir dan renung bersama.

 

Sampai bila industri ini akan terus 'selesa'? Adakah kehadiran vaksin yang mula dilancarkan akan membimbangkan industri ini? Atau adakah industri ini akan mula menjunam semula secara perlahan-lahan susulan kes jangkitan yang kian menurun?

 

Industri sarung tangan getah

 

Persoalan tersebut mendapat maklum balas Ahli Ekonomi MIDF Research, Mazlina Abdul Rahman.

 

Jelas beliau, walaupun jumlah kes jangkitan kian menurun, namun ia tetap berada di paras yang lebih tinggi berbanding awal tahun 2020 ketika pandemik mula melanda kebanyakan negara.

 

Katanya, pemberian vaksin juga akan mengambil masa untuk diberikan kepada keseluruhan rakyat biasa berbanding keutamaan kepada petugas barisan hadapan.

 

Kadar kelajuan pelaksanaan program vaksinasi itu juga katanya adalah berbeza di setiap negara.

 

Menjelaskan situasi berkenaan, beliau menjadikan Malaysia sebagai contoh terdekat yang menjangkakan kira-kira 80% daripda jumlah populasi diberikan vaksin menjelang suku pertama 2022.

 

"Dalam masa yang sama, pemberian vaksin itu sendiri akan meningkatkan permintaan untuk sarung tangan getah bagi proses pengendaliannya.

 

"Pada masa ini, hanya kira-kira 1.9% daripada keseluruhan populasi dunia telah diberikan sekurang-kurangnya dos pertama vaksin. Majoriti vaksin yang ada sekarang perlu diberikan sebanyak 2 dos.

 

"Ini menunjukkan bahawa masih terdapat prospek yang tinggi untuk permintaan sarung tangan getah dari domestik dan luar negara. Kami menjangkakan permintaan terhadap sarung tangan getah untuk kekal tinggi sekurang-kurangnya sehingga tahun hadapan," jelas beliau ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Dalam aspek pembekalan produk sarung tangan global, Malaysia membekalkan sekitar 65% daripada keseluruhan sarung tangan getah dunia.

 

Ujarnya, ia memberi maksud bahawa syarikat-syarikat sarung tangan Malaysia mempunyai kelebihan dalam pasaran produk tersebut.

 

Dalam laporan perangkaan perdagangan luar bagi Januari 2021, jumlah eksport negara meneruskan momentum positif selama lima bulan berturut-turut dengan pengembangan 6.6% kepada RM89.6 bilion berbanding RM84.1 bilion pada bulan sama tahun lalu.

 

Industri sarung tangan getah

 

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM4.2 bilion), diikuti oleh produk keluaran getah sebanyak +RM4.1 bilion.

 

Mengulas perkara tersebut, Mazlina memberitahu, produk eksport utama Malaysia iaitu elektrik dan elektronik merangkumi kira-kira 40% daripada jumlah eksport negara, manakala produk keluaran getah hanya sekitar 4.5%.  

 

Ujarnya, barangan elektrik dan elektronik akan terus menerajui eksport negara pada tahun 2021, disokong oleh permintaan tinggi dari rakan dagang utama seperti China dan Singapore sebagaimana tahun-tahun yang sebelumnya.

 

"Pada masa sama, produk keluaran getah dijangka turut menyumbang kepada prestasi eksport yang lebih baik pada tahun ini, berikutan permintaannya yang masih tinggi.

 

"Secara amnya, sebahagian besar produk eksport negara dijangka akan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada tahun ini sejajar dengan pemulihan ekonomi dunia yang akan meningkatkan permintaan," tambah beliau lagi.

 

Sementara itu, Majlis Getah Malaysia (MRC) hari ini memberitahu, tempoh penularan wabak COVID-19 turut mengheret produk getah Malaysia mencipta sejarah baharu apabila nilai eksportnya mencecah paras tertinggi iaitu RM40.96 bilion pada tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brandon Chan berkata, prestasi menakjubkan itu majoritinya disumbangkan oleh sektor barangan berasaskan susu getah iaitu sebanyak 90% daripada keseluruhan eksport tahun lalu.

 

Sektor barangan berasaskan susu getah kebanyakannya merangkumi peranti perubatan seperti sarung tangan dan tiub getah. - DagangNews.com