Perkara paling dibimbangi akhirnya berlaku apabila sebuah kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tenggelam semasa pelayaran operasi di perairan Tanjung Penyusop, Johor petang 25 Ogos 2024.
Kapal KD Pendekar sebelum itu mengalami kebocoran dipercayai melanggar objek di bawah air pada pukul 12 tengah hari semasa berada pada kedudukan 2 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop.
Kesemua kru diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.
Hayat KD Pendekar yang berusia 45 tahun akhirnya bersemadi di dasar laut, kini usaha untuk menyelamatkan bangkai kapal sedang diusahakan TLDM.
Mujurlah tiada kemalangan jiwa, jika tidak musibah ini akan menjadi sebaliknya dan satu negara akan meratib atas kecelakaan yang berlaku.
Maka pelbagai teori, jalan penyelesaian untuk mengelak kejadian serupa dibicarakan oleh ramai bijak pandai hanya setelah kemalangan berlaku.
Kebimbangan banyak pihak tentang keselamatan aset usang TLDM telah banyak kali dibangkitkan, paling lantang adalah bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Sepanjang perkhidmatan sebagai Panglima, beliau giat memperjuangkan isu aset TLDM usang dan mahu angkatan laut itu dilengkapkan dengan aset-aset sewajarnya.
Begitu juga mantan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali pernah menyuarakan agar TLDM diberikan peruntukan secukupnya pada Bajet 2023 lalu.
Ini dengan menitik-berat perolehan baharu serta segera menaik taraf keupayaan aset-aset ketenteraan yang semakin berusia.
Kata beliau, penambahan bajet pertahanan amat kritikal terutama sekali dalam meningkatkan keupayaan aset tempur TLDM yang berdepan isu keusangan.
KD Pendekar merupakan satu daripada 4 buah kapal kapal serang laju kelas Handalan yang dioperasikan oleh TLDM.
Kini yang tinggal adalah kapal KD Handalan (3511), KD Perkasa (3512) dan KD Gempita (3514) yang sama usia dengan KD Pendekar.
Kapal ini dibina pada 1978 berdasarkan reka bentuk kapal serang laju Spica-M buatan Karlskrona Varvet Shipyard, Sweden dan ditauliahkan ke dalam armada TLDM pada tahun 1979.
KD Pendekar asalnya merupakan kapal serang laju peluru berpandu (FAC M) bersenjatakan 4 pelancar Exocet MM38 yang menjadikan armada kapal-kapal kelas ini digeruni.
Bagaimana pun, lebih 10 tahun lalu sistem persenjataan Exocet dilucutkan daripada KD Pendekar lalu dijadikan sebagai kapal serang laju dalam flotila rondaan.
Kapal sepanjang 43 meter (m) dengan lebar 7m dan seberat 2,600 tan ini mampu belayar sehingga 7 hari bersama 39 kru manakala persenjataan kapal ialah meriam Bofors 57mm dan 40mm.
Masih ada 10 buah lagi kapal perang sezaman dengan KD Pendekar beroperasi dalam armada TLDM, malah lebih tua.
Empat adalah kapal peronda Kelas Perdana/La Combattante II 4AL buatan Perancis yang dibina antara tahun 1972-1973 iaitu KD Perdana (3501), KD Serang (3502), KD Ganas (3503) dan KD Ganyang (3504).
Enam adalah kapal Kelas Jerung yang dibina pada 1977-1976 oleh firma Lürssen Werft Bremen, Jerman.
Kapal kelas ini adalah KD Jerung (3505), KD Todak (3506), KD Paus (3507), KD Yu (3508), KD Baung (3509) dan KD Pari (3510).
Ketiga-tiga kelas kapal era 1970an ini mempunyai rekaan hampir sama sesuai dengan zaman ia dibina dan dimiliki TLDM untuk keperluan ancaman pada masa tersebut.
Daripada keseluruhan kapal-kapal ini, hanya KD Perkasa yang telah menjalani selenggaraan berjadual refit secara re-hull termasuk menggantikan kesemua jentera utama.
Mengikut perancangan sepatutnya kapal-kapal tiga kelas ini akan menjalani program refit yang sama untuk memberi hayat baru pada kapal, tapi belum sempat dilaksanakan.
Dua tahun lalu, musibah sama menimpa Tentera Laut Thailand apabila kapal perang HTMS Sukhothai karam kira-kira 37 kilometer dari luar pesisir pantai tenggara Thailand.
Korvet kelas Ratanakosin berusia 35 tahun ini karam semasa laut bergelora setelah enjinnya mengalami kerosakan sebelum kapal menjadi senget.
Seramai 29 orang maut termasuk jasad 5 kru yang tidak ditemui
Pada April 2021, kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang membawa 53 kru tenggelam di perairan Bali semasa mengadakan latihan.
Kapal selam berusia 40 tahun buatan Jerman itu terputus hubungan selepas meminta kebenaran untuk menyelam ketika sesi latihan torpedo.
Tenggelamnya kapal KD Pendekar jangan dilihat sebagai takdir, sebaliknya petunjuk bahawa penggantian aset usang TLDM sangat mendesak.
Adalah mustahil untuk menghentikan sementara atau sebahagian khidmat kapal-kapal kelas ini dalam keadaan TLDM tidak mempunyai kapal yang cukup.
Selain menunggu hasil laporan siasatan kemalangan KD Pendekar, apakah langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan (Mindef) tentang aset-aset usang ini? - DagangNews.com