Teo Seng Capital sasar tingkatkan pengeluaran telur ayam harian kepada 4.5 juta menjelang FY24 | DagangNews Skip to main content

Teo Seng Capital sasar tingkatkan pengeluaran telur ayam harian kepada 4.5 juta menjelang FY24

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Teo Seng Capital Berhad kekal komited dengan rancangan untuk mengubah suai ladang ayam sedia ada dan mengembangkan kapasiti penternakan dengan menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran telur ayam hariannya kepada 4.50 juta menjelang FY24.

 

Malacca Securities berkata, kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada bahagian perdagangan produk kesihatan haiwan yang kurang terjejas oleh harga komoditi kerana tekanan kos berterusan.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 5.8%, disumbangkan oleh peningkatan kuantiti jualan telur di pasaran domestik dan harga jualan telur yang bertambah baik.

 

"Secara purata, harga telur ayam meningkat 5.8% dari tahun ke tahun pada 3QFY22 kepada RM0.37 setiap telur ayam Gred C selaras dengan kos makanan yang lebih tinggi.

 

"Harga telur yang lebih tinggi telah diterjemahkan kepada hasil yang lebih tinggi dari tahun ke tahun bagi segmen penternakan ayam itik, membawa kepada peningkatan 53.4% dalam keuntungan sebelum cukai bagi segmen tersebut selepas subsidi kerajaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menyusut kepada RM516,000 pada 3QFY22 berbanding RM2.27 juta tahun lalu manakala pendapatan sesaham untuk tempoh itu  berada pada paras 0.18 sen berbanding 0.77 sen tahun lalu.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun meningkat 15.2% kepada RM166.6 juta berbanding RM144.5 juta tahun lalu. 

 

Bagi tempoh 9MFY22, kumpulan itu merekodkan peningkatan hasil sebanyak 24.7% kepada RM471.3 juta berbanding RM378 juta tahun lalu dan untung bersih RM8.6 juta berbanding kerugian bersih RM9.05 juta setahun lalu.

 

Firma itu berkata, industri ternakan ayam menyaksikan peningkatan berterusan dalam permintaan telur dalam pasaran domestik dan luar negara di tengah-tengah pemulihan ekonomi.

 

"Kami kekal berhati-hati terhadap prospek industri sehingga kedua-dua harga dan kos makanan kembali normal.

 

"Kami menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'jual' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 53 sen," katanya. - DagangNews.com