Terapkan jiwa, hati dan minda keusahawanan dalam kalangan mahasiswa UiTM | DagangNews Skip to main content

Terapkan jiwa, hati dan minda keusahawanan dalam kalangan mahasiswa UiTM

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melancarkan MoHE x Shopee: Siswa Mall iaitu kolaborasi strategik kementerian dengan Shopee Malaysia bagi membentuk lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan IPT berpandukan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021 hingga 2025, pada 25 November 2021.
 

 

Oleh Sr Ts Dr Siti Hafsah Zulkarnain & Zakiyah Hasan

 

BERDEPAN dengan cabaran dalam kelangsungan hidup masyarakat akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia membuka peluang menjadi usahawan terbentang luas memandangkan negara kian dihimpit dengan isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang tinggi pada masa kini.

 

Golongan mahasiswa dan graduan universiti juga tidak terlepas serta terkesan dari isu ini yang menyukarkan golongan ini untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti kelak.

 

Kini tiba masanya untuk menukar cara pemikiran dan pandangan mahasiswa dengan melihat bidang keusahawanan juga boleh dijadikan pilihan kerjaya yang menjanjikan pendapatan yang lumayan jika diberikan fokus yang sewajarnya.

 

Menjadi tanggungjawab universiti kini untuk menukar paradigma warga dan generasi pelapis negara agar dapat melihat peluang yang terbentang luas dalam menerokai bidang keusahawanan.

 

Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) merasakan penglibatan dalam bidang keusahawanan perlu mula diterapkan di dalam jiwa, hati dan minda mahasiswa seawal hari pertama mereka melangkah ke menara gading.

 

Persoalan yang sering bermain di benak fikiran pentadbir dan pensyarah universiti kini adalah bagaimana membuat perubahan dalam mendoktrin jiwa, hati dan minda ini bermula?

 

Untuk menerapkan elemen pembudayaan keusahawanan dalam kehidupan juga tidak semudah yang disangka dan ia memerlukan proses yang berterusan untuk membentuk budaya dan jati diri mahasiswa yang mempunyai jiwa, hati dan minda keusahawanan.

 

Semua pihak dan jabatan di dalam universiti perlu memainkan peranan masing-masing dalam membentuk ekosistem keusahawanan yang seimbang sama ada di dalam kokurikulum pengajaran, aktiviti pembangunan pelajar dan persekitaran universiti.

 

Penekanan awal dalam membentuk minat, kecenderungan serta pembangunan bakat mahasiswa dalam keusahawanan perlu dimulakan dengan mewujudkan platform dan hab perniagaan di dalam kampus di samping mengadakan sesi perkongsian kisah pengalaman suka dan duka alumni mengenai bidang perniagaan yang diceburi.

 

Kebanyakan mahasiswa sering menganggap menjadi usahawan perlu modal dan produk untuk memulakan perniagaan.

 

Namun, dengan teknik dan teknologi yang wujud kini bidang perniagaan boleh dimulakan dengan pelbagai platform jualan serta dapat dijalankan tanpa modal.


 

masmed
Kiosk kopi yang dikendalikan oleh siswa UiTM. - Gambar MASMED

 


Berbalik kepada persoalan utama untuk mewujudkan jiwa, hati dan minda untuk menjadi usahawan juga perlu dimulakan dengan minat dan usaha.

 

Jika tidak semua usaha yang dijalankan oleh pihak universiti akan menjadi sia-sia.

 

Minat yang mendalam dalam diri mahasiswa akan memastikan mereka dapat terus bersinar dalam perniagaan yang diceburi.

 

Segala cabaran yang datang juga dapat diatasi dengan baik jika minat yang mendalam telah terpahat dalam jiwa, hati dan minda.

 

Justeru itu, mahasiswa perlu mengenal pasti apakah “BIG WHY” mereka sebelum melangkah ke dunia perniagaan.

 

Adakalanya segelintir mahasiswa menjalankan perniagaan kerana trend semasa dan terikut-ikut dengan kawan.

 

Namun, untuk pembudayaan awal tidak menjadi kesalahan apa jua alasan mahasiswa ini terlibat dalam perniagaan.

 

Walaupun cara penglibatan awal dalam perniagaan berlaku secara tidak sengaja namun ia merupakan proses pembelajaran dengan melalui perjalanan perniagaan berdasarkan pengalaman masing-masing.

 

Sebagai manusia biasa, minda dan pemikiran manusia akan mudah beralih jika mereka dapat mencerap maklumat yang sesuai dengan daya cerapan otak yang berbeza antara satu sama lain.

 

masmed

 


Pihak universiti juga perlu sedar dan kreatif dalam membangunkan modul pendedahan awal aktiviti keusahawanan mahasiswa sesuai dengan daya cerapan otak tersebut sama ada secara visual, auditori, kinestetik dan lain-lain.

 

Selain itu, perlu dielakkan juga cara pendedahan budaya keusahawanan yang membosankan dan tidak sesuai dengan cita rasa serta gaya hidup generasi milenial yang lebih berteraskan teknologi dan media sosial dalam berinteraksi.

 

Kenali sikap dan karakter mahasiswa juga merupakan elemen penting dalam menarik minat mereka dalam bidang keusahawanan selain membentuk jiwa, hati dan minda yang cenderung untuk membuat keputusan dan tindakan yang lebih bercirikan elemen keusahawanan dalam kehidupan harian.

 

Pada dasarnya agak mustahil juga semua mahasiswa yang lahir dari menara gading akan berakhir menjadi usahawan yang berjaya kelak.

 

Namun, setidaknya setiap mahasiswa UiTM yang lahir mempunyai jiwa, hati dan minda keusahawanan walaupun mereka berkhidmat dalam sektor kerajaan dan swasta, namun tindakan dan cara mereka membuat keputusan mempunyai elemen jiwa, hati dan minda keusahawanan yang akan memberikan paradigma baru dalam sektor pekerjaan negara. – DagangNews.com

 

Sr Ts Dr Siti Hafsah Zulkarnain adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur UiTM dan

Zakiyah Hasan adalah Ketua Jabatan (MASMED Business Unit), Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM